Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

Terharu Doa Buat Arwah Siti Hasmah, Tun M Titip Luahan Sayu & Mohon Maaf

Tun Dr Mahathir meluahkan rasa terharu atas doa orang ramai buat arwah isteri tercinta, selain memohon maaf jika ada salam dan ucapan takziah yang belum sempat dibalas.

Terharu Doa Buat Arwah Siti Hasmah, Tun M Titip Luahan Sayu & Mohon Maaf
Gambar: Harian Metro

Bukan senang nak menerima hakikat apabila insan yang kita cintai dan berkongsi hidup berpuluh tahun pergi buat selama-lamanya. Itulah suasana emosi yang kini menyelubungi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, susulan pemergian isteri tercinta, Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali baru-baru ini.

Di sebalik kedukaan yang dirasai, Dr Mahathir baru-baru ini menzahirkan rasa amat terharu dengan kebaikan dan ingatan ikhlas daripada seluruh rakyat Malaysia.

Iklan

Terharu Doa Rakyat Tidak Pernah Putus

Menerusi satu kenyataan, beliau mewakili seluruh ahli keluarga mengambil kesempatan untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah membantu menyempurnakan urusan pengebumian arwah isterinya pada 28 September lalu.

Beliau mengakui hatinya sangat tersentuh apabila melihat limpahan doa yang berterusan buat Allahyarhamah. Kata beliau, doa-doa tersebut dipanjangkan oleh pelbagai lapisan masyarakat, sama ada yang datang menziarahi pusara arwah mahupun yang memanjatkan doa dari mana-mana sahaja di seluruh negara.

Ubat Hati Yang Sedih, Syukur Dipinjamkan Pasangan Cukup Lama

Walaupun terpaksa menanggung rasa pedih akibat kehilangan teman hidup, Dr Mahathir berkongsi bahawa situasi ini mengajar beliau untuk terus bersyukur kepada Yang Maha Esa.

Iklan

Bagi beliau, kesedihan yang amat mendalam itu mengingatkan dirinya agar tidak lupa bersyukur kepada Allah SWT kerana telah meminjamkan Allahyarham Dr Siti Hasmah dalam satu tempoh masa yang sangat panjang, menemani dirinya sehingga ke baki usia yang masih tersisa pada hari ini.

Mohon Maaf Jika Terlepas Pandang Ucapan Takziah

Dalam pada itu, beliau dengan rendah hati turut memohon kemaafan kepada orang ramai sekiranya sepanjang tempoh perkabungan tersebut, ada tindak-tanduk beliau yang terlepas pandang.

Beliau meminta maaf jika ada salam daripada orang ramai yang tidak sempat beliau sambut, lambaian tangan yang tidak sempat dibalas, ataupun kiriman ucapan takziah yang masih belum berbalas sehingga ke hari ini.

Iklan

Cuba Ke Pejabat Tapi Tenaga Belum Cukup Kuat

Bercakap mengenai perkembangan dirinya, Dr Mahathir memaklumkan bahawa beliau ada cuba untuk kembali masuk ke pejabat dalam sehari dua ini. Namun begitu, beliau mengakui bahawa kudrat dan upayanya ketika ini masih belum begitu kuat sepenuhnya.

Untuk makluman, Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah telah menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) kira-kira jam 9.20 pagi pada 28 September lalu.

Jenazah arwah kemudiannya disolatkan di Masjid As Syarif, Taman Sungai Besi Indah, Serdang sebelum selamat disemadikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya pada hari yang sama.

Iklan

Rata-rata rakyat terus mendoakan agar Dr Mahathir sekeluarga diberikan ketabahan dan kekuatan menempuh fasa sukar ini, di samping mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

Sumber: Harian Metro

Iklan

Baca juga

Iklan