Siakap KeliLive · Auto-update
Gaya Hidup

TCMex 2026 Di MITEC: Terokai Rawatan Tradisional & Khidmat Nasihat Percuma

TCMex 2026 kembali ke MITEC pada November 2026 dengan menghimpunkan lebih 120 pempamer antarabangsa serta tawaran konsultasi kesihatan percuma.

TCMex 2026 Di MITEC: Terokai Rawatan Tradisional & Khidmat Nasihat Percuma
Gambar: OH! Media

Sekarang ini makin ramai yang mula memberi perhatian kepada kaedah rawatan alternatif dan herba untuk menjaga tubuh badan. Gabungan antara petua zaman berzaman dan sains moden nampaknya semakin diterima baik oleh masyarakat kita.

Berita baik buat anda yang mahu mendalami bidang ini, Pameran Antarabangsa Perubatan Tradisional, Komplementari dan Teknologi Kesihatan Malaysia 2026 (TCMex 2026) bakal kembali untuk edisi kedua. Acara berskala besar ini dijadualkan berlangsung dari 25 hingga 27 November 2026 bertempat di MITEC, Kuala Lumpur, bermula jam 10.00 pagi hingga 6.00 petang.

Iklan

Peluang Jumpa Tabib Berlesen Secara Percuma

Antara tarikan paling bermakna untuk pengunjung kali ini adalah kewujudan zon khas kebajikan. Di ruang TCM Charity Consultation Zone, anda berpeluang mendapatkan sesi rundingan kesihatan secara percuma daripada pengamal Perubatan Tradisional Cina (TCM) yang bertauliah dan berlesen.

Selain itu, pameran ini turut menyediakan dua zon pengalaman menarik lain:

  • Digital Healthcare Innovation Zone: Mengetengahkan peranan peranti moden serta kecerdasan buatan (AI) dalam menambah baik servis rawatan komplementari.
  • Medicine-Food Homology Experience Zone: Memperkenalkan konsep penyembuhan berasaskan makanan menerusi hidangan teh herba khas daripada campuran bunga dan buah-buahan.

Himpunkan Lebih 120 Pempamer Antarabangsa

TCMex 2026 dianjurkan bersama oleh Persatuan Produk Makanan Tradisional dan Kesihatan Malaysia-China di bawah naungan Persekutuan Persatuan Tabib Dan Pedagang Ubat Tionghua Malaysia. Acara ini dijangka memuatkan kira-kira 125 pempamer dengan 200 ruang gerai, selain menyasarkan kehadiran sekitar 5,000 pengunjung perdagangan.

Iklan

Pempamer bukan sahaja datang dari dalam negara, malah membabitkan penyertaan dari China, Singapura, Macau serta Korea Selatan. Di samping itu, ada juga sesi persidangan dua hari anjuran bersama Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) yang membincangkan topik kawal selia, penyelidikan dan masa depan industri kesihatan holistik.

Siapa Yang Patut Hadir?

Pameran ini sangat sesuai untuk pengamal klinik rawatan alternatif, pemilik farmasi, pembekal makanan kesihatan, mahupun usahawan yang mahu mencari rakan niaga baharu dari rantau Asia.

Menariknya, tiada sebarang bayaran dikenakan untuk masuk. Pengunjung perdagangan hanya perlu membuat pendaftaran secara dalam talian terlebih dahulu untuk mendapatkan pas masuk percuma sebelum hadir ke MITEC kelak.

Sumber: OH! Media

Iklan

Baca juga

Iklan