Taktik Caj Tersembunyi: Peniaga Degil Boleh Didenda RM100,000 Dan Dipenjara
KPDN beri amaran keras kepada peniaga dan platform e-dagang yang mengenakan caj tersembunyi, hukuman denda dan penjara menanti mereka.

Pernah tak anda rasa geram bila nak bayar makanan di kaunter atau tekan butang pengesahan di aplikasi beli-belah, tiba-tiba harga melambung tinggi? Pada menu atau iklan tulis lain, tapi masa nak buat pembayaran akhir, muncul macam-macam caj pelik yang tidak diberitahu awal-awal.
Situasi 'kena ketuk' macam ini nampaknya bakal berakhir. Kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menegaskan amalan meletakkan caj tersembunyi di saat-saat akhir transaksi adalah satu kesalahan serius di sisi undang-undang.
Bukan Setakat Denda, Peniaga Boleh Dihumban Ke Penjara
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, menegaskan bahawa pihak kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana peniaga yang mengelirukan pelanggan. Tindakan tegas boleh diambil mengikut Seksyen 10B(1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).
Undang-undang ini mewajibkan mana-mana pihak memaparkan harga yang sudah merangkumi semua kos, termasuk cukai, duti dan apa jua caj lain yang berkaitan sejak dari awal.
Jika masih ada yang berdegil, penalti yang menanti bukan calang-calang. Syarikat atau pertubuhan perbadanan boleh didenda sehingga RM100,000. Manakala bagi peniaga individu pula, mereka berdepan denda sehingga RM50,000 atau hukuman penjara hingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Akta Perlindungan Pengguna Turut Digunakan
Selain Akta 723, kementerian juga mempunyai kuasa di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599). Menurut Armizan, seksyen dalam akta ini melarang sebarang gambaran harga yang mengelirukan seolah-olah harga yang dipamer sudah merangkumi segalanya, sedangkan hakikatnya ada caj asing.
Menerusi akta ini, hukuman terhadap peniaga individu lebih berat dengan tempoh penjara sehingga tiga tahun atau denda mencecah RM50,000. Manakala denda bagi syarikat perbadanan tetap boleh mencecah sehingga RM100,000.
Sektor Makanan dan E-Dagang Dalam Radar
Isu caj tersembunyi ini paling kerap berlaku dalam sektor perkhidmatan, makanan dan minuman (F&B), serta platform perniagaan dalam talian. Melalui Garis Panduan Pelaksanaan Dasar Harga Terangkum, peniaga diwajibkan menyatakan jumlah penuh termasuk kos penghantaran dan caj perkhidmatan sebelum pembeli membuat bayaran.
Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan 2020 juga sudah mewajibkan senarai harga dan caj dipamerkan secara jelas serta mudah dilihat oleh orang ramai di premis perniagaan.
Apa Peranan Kita Sebagai Pengguna?
KPDN memberi jaminan bahawa pemantauan berkala akan terus dijalankan di seluruh negara. Namun, kuasa terbesar sebenarnya ada di tangan pembeli sendiri.
- Sentiasa periksa resit atau paparan harga akhir sebelum membuat pembayaran.
- Jangan ragu-ragu bertanya kepada peniaga jika ada pertambahan caj yang meragukan.
- Salurkan aduan rasmi kepada KPDN sekiranya mengesan mana-mana premis atau platform yang sengaja menyembunyikan harga sebenar.
Ketelusan harga adalah hak asas pengguna. Dengan adanya penguatkuasaan yang lebih ketat ini, diharap tiada lagi pihak yang cuba mengaut keuntungan atas angin dengan mengelirukan pelanggan.
Sumber: Harian Metro
Baca juga

Dituduh Guna Aset Kerajaan, Dira Abu Zahar Terkilan Rakyat Pula Diheret
Calon BN DUN Rim, Dira Abu Zahar terkilan tindakan parti lawan buat laporan polis hingga menyusahkan penduduk yang menerima bantuan.

Lebih 60,000 Kandungan Buli Siber Dipadam, Fahmi Fadzil Dedah Angka Mengejutkan
Lebih 60,000 hantaran buli siber diturunkan sejak 2022. Ketahui langkah tegas kerajaan tangani fitnah dan berita palsu di media sosial.

Premis 'Ayam Bangkai' Di Puchong Tiada Sijil Halal, JAIS Buru Dalang Sebenar
Premis sembelihan ayam di Puchong yang diserbu disahkan tiada sijil halal dan sembelih ayam yang mati terkena renjatan. JAIS kini giat kesan dalang utama.