Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

Premis 'Ayam Bangkai' Di Puchong Tiada Sijil Halal, JAIS Buru Dalang Sebenar

Premis sembelihan ayam di Puchong yang diserbu disahkan tiada sijil halal dan sembelih ayam yang mati terkena renjatan. JAIS kini giat kesan dalang utama.

Premis 'Ayam Bangkai' Di Puchong Tiada Sijil Halal, JAIS Buru Dalang Sebenar
Gambar: ohmymedia.cc

Isu kebersihan dan status halal makanan sememangnya cukup sensitif buat masyarakat di Malaysia. Baru-baru ini, tular tentang operasi serbuan terhadap sebuah premis penyembelihan ayam di Puchong yang disyaki memproses ayam yang sudah mati atau 'ayam bangkai' sebelum diedarkan ke pasaran.

Pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tampil mengesahkan bahawa premis yang terletak di Kampung Sri Aman Hilir itu langsung tidak memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM). Bukan sekadar tiada sijil, semakan turut mendapati tiada sebarang rekod permohonan pensijilan halal pernah dibuat untuk operasi di situ.

Iklan

Ayam Mati Terkena Renjatan Sebelum Disembelih

Menurut Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) juga tidak pernah mengeluarkan sebarang perakuan penyembelih bagi mana-mana individu di premis berkenaan.

Operasi bersepadu di Lot 35, Jalan Jurutera itu dijalankan hasil risikan rapi pasukan khas halal JAIS bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Pejabat Kesihatan Daerah Petaling serta Jabatan Alam Sekitar.

Sebaik tiba di lokasi, pihak berkuasa mendapati seramai 12 pekerja warga Bangladesh dan Pakistan sedang bekerja tanpa kehadiran sebarang penyelia atau pekerja tempatan.

Iklan

Siasatan mendapati pekerja terbabit melakukan penyembelihan secara tidak patuh syarak. Ayam-ayam berkenaan disembelih selepas mati akibat proses renjatan air berarus elektrik yang menggunakan kadar voltan melebihi had yang dibenarkan.

Penjual 'ayam bangkai' patut disebat - Kosmo Online

Premis Misteri Tanpa Papan Tanda

Pemeriksaan lanjut mendapati premis terbabit beroperasi tanpa sebarang papan tanda atau maklumat perniagaan rasmi. Keadaan ini sekali gus menyukarkan pengesanan identiti sebenar syarikat terbabit secara serta-merta di lokasi serbuan.

Malah, maklumat awal daripada individu yang ditahan mendakwa aktiviti penyembelihan di tapak berkenaan dikendalikan oleh lebih daripada satu entiti perniagaan.

Iklan

Bagi merungkai tanda tanya tersebut, JAIS kini bekerjasama dengan Pejabat Daerah dan Tanah bagi mengenal pasti pemilik tanah serta syarikat yang bertanggungjawab ke atas operasi haram ini sebelum mendedahkan maklumat sahih kepada umum.

Peringatan Buat Peniaga Dan Pengguna

Kes disiasat mengikut Perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 dan Seksyen 121F Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Insiden ini wajar dijadikan pengajaran buat semua pihak. Pihak berkuasa turut menggesa pengusaha kedai makan, restoran dan penyedia katering agar lebih berhati-hati memilih pembekal dan memastikan sumber ayam mentah mempunyai sijil halal serta tauliah sembelihan yang sah.

Iklan

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini diminta untuk terus menyalurkannya kepada pihak JAIS atau PDRM bagi membantu siasatan.

Sumber: ohmymedia.cc

Iklan

Baca juga

Iklan