Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

Tak Serik Mengintai Bawah Skirt Wanita, Lelaki Diberi Amaran Hukuman Sebat

Berkali-kali masuk penjara sejak 2018, seorang lelaki di Singapura dijatuhi hukuman penjara 28 minggu dan diberi amaran keras bakal disebat jika masih mengulangi tabiat buruknya.

Tak Serik Mengintai Bawah Skirt Wanita, Lelaki Diberi Amaran Hukuman Sebat
Gambar: Harian Metro

Bila nafsu mengatasi akal, hukuman penjara pun kadangkala belum tentu mampu membuatkan seseorang itu insaf. Situasi inilah yang berlaku kepada seorang lelaki di Singapura yang nampaknya masih tegar mengulangi tabiat buruk mengintai bawah skirt wanita di tempat awam.

Tertuduh, Gary Huang Kunjie yang kini berusia 41 tahun, dijatuhi hukuman penjara selama 28 minggu oleh Mahkamah Daerah selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan voyeurisme atau mengintai secara seksual.

Iklan

Bukan Kesalahan Pertama, Pernah Dihukum Berkali-kali

Apa yang membuatkan ramai menggeleng kepala, ini bukanlah kali pertama Huang berdepan tindakan undang-undang. Dia sebenarnya mempunyai rekod sabitan atas kesalahan yang sama hampir setiap tahun sejak 2018 sehinggalah ke rekod terbaharu.

Dalam insiden terbaharu pada 20 Jun lalu, Huang yang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja ternampak seorang wanita di pusat beli-belah Northpoint City, Yishun. Tertarik dengan mangsa, dia bertindak mengekorinya ketika menaiki eskalator.

Ketika berada di eskalator tersebut, dia meletakkan telefon bimbitnya di bawah skirt wanita berkenaan untuk merakam video sulit. Rakaman itu kemudian ditonton untuk kepuasan nafsu sendiri sebelum dipadamkan bagi mengelak perbuatannya dikesan.

Iklan

Sasar Sekitar 20 Mangsa Dalam Tempoh Dua Bulan

Siasatan mendedahkan perbuatan jijik itu bukan berlaku secara kebetulan atau sekali dua sahaja. Huang mengakui dia merakam video di bawah skirt wanita kira-kira dua kali seminggu antara bulan Mei hingga Jun lalu, membabitkan sekitar 20 orang mangsa yang langsung tidak menyedari diri mereka dirakam.

Disebabkan setiap video dipadamkan sebaik sahaja selesai ditonton, pihak polis berdepan kesukaran untuk mendapatkan semula bukti rakaman tersebut. Huang akhirnya ditahan oleh pihak berkuasa ketika satu operasi dijalankan di stesen MRT Khatib pada 8 Julai.

Hakim Beri Amaran Terakhir: Hukuman Sebat Menanti

Di mahkamah, pihak pendakwaan pada mulanya memohon hukuman penjara antara 22 hingga 25 minggu. Namun, Hakim Daerah R Arvindren berpandangan cadangan itu terlalu ringan memandangkan tertuduh sudah berulang kali melakukan kesalahan yang serupa terhadap wanita tidak bersalah.

Iklan

Malah, hakim turut mempersoalkan mengapa hukuman lebih berat seperti sebat atau program pemulihan jangka panjang tidak dicadangkan. Ketika merayu, Huang yang tidak diwakili peguam kelihatan sebak dan hampir menangis di hadapan mahkamah.

Dia memberi alasan bahawa perbuatan itu didorong oleh tekanan kerja serta masalah menguruskan kesihatan mental. Huang turut menyatakan rasa kesal kerana gagal menjaga ibu bapanya yang sudah lanjut usia dan berjanji mahu mengubah cara hidup dengan bekerja sambilan demi mengurangkan tekanan mental.

Mendengar rayuan tersebut, mahkamah menegaskan ini adalah peluang terakhir untuknya berubah. Hakim memberi amaran tegas bahawa hukuman sebat akan dipertimbangkan sekiranya dia ditangkap mengulangi perbuatan terkutuk itu lagi.

Iklan

Di bawah undang-undang Singapura, pesalah voyeurisme boleh berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, sebatan, atau gabungan hukuman-hukuman berkenaan.

Sumber: Harian Metro

Iklan

Baca juga

Iklan