Tak Perlu Gaji Besar, Ini Cara Tambah Simpanan Hari Tua Serendah RM10 Melalui KWSP
KWSP sediakan kemudahan i-Simpan serendah RM10 sebulan bagi bantu ahli bina simpanan hari tua. Ketahui syarat dan manfaatnya di sini.

Kalau tanya orang muda sekarang pasal persaraan, ramai yang rasa hal itu masih terlalu jauh untuk difikirkan. Hakikatnya, fasa selepas bersara bukan setakat setahun dua, malah boleh berlarutan antara 20 hingga 30 tahun. Bayangkan tanpa persediaan rapi, macam mana kita mahu menampung kos sara hidup dan perbelanjaan kesihatan apabila tiada lagi gaji bulanan kelak?
Berdasarkan perkongsian dalam International Social Wellbeing Conference (ISWC) 2026 menerusi Kerangka Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA), hampir empat daripada 10 ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran Simpanan Asas RM390,000 menjelang umur 60 tahun. Walaupun ada kemajuan positif, angka ini turut membayangkan masih ramai yang perlu mencari jalan memperkukuh simpanan hari tua mereka.
Simpan Ikut Kemampuan Menerusi i-Simpan
Ramai beranggapan mahu kumpul duit persaraan kena tunggu gaji besar. Hakikatnya tidak begitu kerana KWSP menyediakan kemudahan caruman sukarela yang dikenali sebagai i-Simpan. Inisiatif ini membolehkan sesiapa sahaja menambah simpanan persaraan selain daripada caruman wajib bulanan majikan.
Paling praktikal, ahli boleh memanfaatkan kemudahan Auto Simpan yang membenarkan potongan secara berkala serendah RM10 sebulan. Jumlah ini mungkin nampak kecil pada mata kasar, tetapi amalan menyimpan secara konsisten dari awal mampu membina tabungan yang kukuh dalam jangka panjang.
Siapa Yang Layak Buat Caruman?
Kemudahan ini dibuka luas kepada pelbagai lapisan masyarakat, sama ada mereka yang bekerja sendiri, pekerja gig tanpa pendapatan tetap, mahupun pekerja makan gaji yang ingin menambah tabungan peribadi.
Syarat kelayakannya cukup mudah dipenuhi:
- Warganegara Malaysia atau pemastautin tetap (PR).
- Telah berdaftar sebagai ahli KWSP.
- Berumur di bawah 75 tahun.
Ahli boleh menyumbang bila-bila masa mengikut kemampuan kewangan masing-masing. Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa had maksimum caruman sukarela tahunan adalah sebanyak RM100,000. Sebarang jumlah bayaran yang melebihi had tersebut akan dipulangkan semula kepada ahli.
Manfaat Dividen dan Pelepasan Cukai
Selain membina tabung simpanan, wang yang dicarum menerusi i-Simpan turut berpeluang menikmati dividen tahunan KWSP. Ini membolehkan simpanan anda terus berkembang dan terlindung daripada susut nilai dalam tempoh jangka panjang, tertakluk kepada pengisytiharan dividen tahunan.
Bukan itu sahaja, individu yang layak juga berpeluang menikmati pelepasan cukai pendapatan bagi caruman sukarela, tertakluk kepada syarat dan ketetapan semasa oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN).
Bagi yang berminat, tetapan i-Simpan dan Auto Simpan boleh diuruskan terus melalui aplikasi KWSP i-Akaun. Tiada istilah terlalu awal atau terlambat untuk memulakan langkah kecil demi jaminan hidup yang lebih selesa di kemudian hari.
Sumber: gempak
Baca juga

Anak Cemerlang Atas Kertas Tapi Cepat 'Koyak'? Ini Sebab Gred Bukan Segalanya
Ramai majikan mengeluh graduan cemerlang mudah koyak di tempat kerja. Mengapa ibu bapa perlu henti taksub pada gred dan mula terapkan nilai hidup sebenar?

Penat Menyewa? Ini Pilihan Rumah Teres 2 Tingkat Sesuai Untuk Pasangan Muda
Impian memiliki kediaman bertanah bukan lagi perkara mustahil. Ketahui bagaimana projek teres dua tingkat The Straits di Bandar Bukit Raja memenuhi keperluan keluarga baru.

Diskaun 99% Tanpa Had Belanja, ShopeeFood Tawar Promo Gempak Buat Pengguna Baru
Perut lapar tapi dompet makin menipis? Pengguna kali pertama ShopeeFood kini boleh nikmati potongan 99% dan penghantaran percuma tanpa sebarang perbelanjaan minimum.