Suami Terlantar Dilanggar Lari, Ibu 5 Anak Terpaksa Catu Makan Nasi Sekali Sehari
Dugaan berat menimpa seorang ibu di Alor Setar apabila suaminya terlantar akibat langgar lari, memaksa mereka sekeluarga mencatu makan nasi hanya sekali sehari.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Begitulah perumpamaan paling tepat bagi menggambarkan ujian hidup yang sedang dihadapi seorang ibu bersama lima orang anaknya di Alor Setar, Kedah.
Daripada sebuah keluarga yang gigih mencari rezeki bersama, sekelip mata hidup mereka berubah seratus peratus. Kini, Siti Aliyaa Hani Abdul Rahman, 36, terpaksa berhempas-pulas sendirian menguruskan rumah tangga selepas suaminya terlantar sakit tanpa daya.
Tragedi Malam Merdeka Ubah Segalanya
Semuanya bermula pada malam sambutan Hari Kebangsaan, 31 Ogos lalu. Suaminya, Mohd Wira Zakaria, 40, keluar menunggang motosikal bersama anak mereka yang berusia tujuh tahun untuk menghantar bekalan tepung ke gerai roti canai Siti Aliyaa di Pasar Borong Alor Setar.
Malangnya, dalam perjalanan pulang ke rumah, motosikal yang dinaiki dua beranak itu dirempuh sebuah kereta dalam kejadian langgar lari. Anak mereka hanya mengalami luka ringan, tetapi Mohd Wira mengalami kecederaan parah pada bahagian otak sehingga koma selama hampir sebulan.
Selepas 21 hari dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan 10 hari di wad biasa, suaminya akhirnya dibenarkan pulang. Namun keadaannya jauh berbeza berbanding dahulu, selain turut disahkan mengalami masalah kegagalan buah pinggang tahap lima.
Hilang Pendapatan, Kos Penjagaan Mencecah Ribuan Ringgit
Sebelum kemalangan, pasangan ini berganding bahu menebar roti canai bermula tengah malam sehinggalah ke waktu pagi. Namun sekarang, Siti Aliyaa tidak lagi mampu keluar mencari rezeki kerana perlu memberikan tumpuan penuh menjaga suaminya di rumah sewa mereka di Taman Sri Indah.
Setiap tiga jam, suaminya perlu diberikan susu khas melalui tiub, selain kahak perlu disedut secara kerap. Untuk mendapatkan rawatan dialisis pula, Siti Aliyaa terpaksa menangguhkannya kerana kekangan wang untuk menyewa ambulans yang menelan belanja kira-kira RM300 bagi setiap perjalanan pergi dan balik ke hospital.
Perbelanjaan membeli susu khas, lampin pakai buang dan tiub sahaja sudah mencecah sekitar RM1,500 sebulan. Kos itu belum lagi termasuk bayaran sewa rumah sebanyak RM700, sedangkan mereka kini hanya bergantung harap kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM800 dan zakat RM500.
Hanya Makan Nasi Sekali Sehari
Disebabkan wang bantuan yang diterima tidak mencukupi untuk menampung keperluan rawatan dan sewa, Siti Aliyaa tiada pilihan lain selain mengetatkan perbelanjaan dapur. Mereka sekeluarga terpaksa mencatu makanan harian.
Bagi memastikan bekalan tidak putus, mereka hanya menikmati hidangan nasi sekali sahaja pada waktu siang. Menjelang waktu malam, perut anak-anak yang berumur antara enam hingga 18 tahun itu sekadar diisi dengan biskut kering.
Hati ibu mana yang tidak luluh melihat anak-anak tidur dalam keadaan serba kekurangan. Lebih memilukan, dua daripada lima anaknya yang berusia tujuh dan 10 tahun merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) masalah pendengaran.
Walaupun doktor masih belum dapat memberi jaminan sama ada suaminya mampu berjalan semula, Siti Aliyaa tetap reda dan menyimpan sekelumit harapan agar satu keajaiban berlaku buat ketua keluarga mereka itu.
Sumber: Harian Metro
