Siakap KeliLive · Auto-update
Hiburan

Status Ibu Bukan Penghalang, Jennifer Barreto Cipta Sejarah Rangkul Miss Universe 2026

Jennifer Barreto melakar sejarah sebagai ibu pertama memenangi Miss Universe 2026. Bukan calang-calang, wanita jelita ini turut miliki dua ijazah sarjana!

Status Ibu Bukan Penghalang, Jennifer Barreto Cipta Sejarah Rangkul Miss Universe 2026
Gambar: gempak

Dunia pertandingan ratu cantik kini semakin meraikan kepelbagaian dan keterbukaan. Terbaharu, wakil Puerto Rico iaitu Jennifer Barreto berjaya mencipta rekod luar biasa apabila dinobatkan sebagai wanita berstatus ibu pertama yang merangkul gelaran Miss Universe.

Kemenangan wanita berusia 27 tahun ini pada edisi ke-75 yang berlangsung di Coliseo José Miguel Agrelot, San Juan pada 24 November lalu bukan sahaja menamatkan kemarau negaranya, malah menghadiahkan mahkota keenam buat Puerto Rico.

Iklan

Sifar Pengalaman Pentas & Berjaya Turun 32 Kilogram

Ramai mungkin menyangka Jennifer sudah lama berkecimpung dalam dunia ratu cantik. Hakikatnya, dia langsung tiada pengalaman sebelum menyertai Miss Universe Puerto Rico mewakili San Sebastián.

Langkah pertamanya di pentas peragaan hanya bermula pada Februari lalu, iaitu sekitar empat bulan sahaja sebelum meraih gelaran di peringkat kebangsaan. Bermula sekadar mahu mencuba sesuatu yang baharu, perjalanan tersebut ternyata mengubah kehidupannya secara menyeluruh. Malah, dia turut berusaha keras menurunkan berat badan sebanyak 32 kilogram demi cabaran tersebut.

Bukan Sekadar Rupa, Berpendidikan Tinggi & Berjiwa Murni

Kisah Jennifer membuktikan kecantikan sebenar hadir bersama pakej kebijaksanaan. Membesar di Isabela dan sering menonton pertandingan ini bersama ibunya ketika kecil, dia kini memegang dua ijazah sarjana dalam bidang Psikologi dan Kerja Sosial Klinikal.

Iklan

Kerjayanya juga bukan biasa-biasa apabila berkhidmat sebagai pakar pencegahan bagi bahagian tentera darat di bawah Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat. Di celah kesibukan kerjaya dan urusan peribadi, dia tetap meluangkan masa menjadi sukarelawan bersama Persatuan Diabetes Pediatrik Puerto Rico untuk membantu pesakit kanak-kanak dan keluarga mereka.

Bawa Advokasi Kesihatan Mental & Hak Golongan Ibu

Bahagia bersama suami, Jean Carlos Barreto, dan anak perempuan mereka, Penélope yang berusia tujuh tahun, Jennifer mahu membuktikan bahawa komitmen berkeluarga bukanlah titik noktah untuk seseorang wanita mengejar impian.

Menerusi platform berprestij ini, dia berhasrat memberi tumpuan kepada kesedaran kesihatan mental serta kesejahteraan emosi wanita dan institusi keluarga. Pada pusingan akhir, dia turut diuji dengan soalan berkaitan pemeliharaan nilai kemanusiaan di tengah-tengah kepesatan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Iklan

Keputusan Penuh Pentas Akhir Miss Universe 2026

Jennifer berjaya menewaskan barisan peserta hebat lain yang turut mempamerkan saingan sengit sehingga ke saat akhir:

  • Juara: Jennifer Barreto (Puerto Rico)
  • Naib Juara: Melissa Núñez (Dominican Republic)
  • Tempat Ketiga: Clara Vegas (Venezuela)
  • Tempat Keempat: Bea Millan-Windorski (Filipina)
  • Tempat Kelima: Georgia Waddington (New Zealand)

Kejayaan Jennifer ini wajar dijadikan suntikan semangat kepada ramai wanita di luar sana bahawa tiada batas yang mampu menghalang keazaman jika kita berani melangkah keluar dari zon selesa.

Sumber: gempak

Iklan

Baca juga

Iklan