Siakap KeliLive · Auto-update
Hiburan

Jessica Alba Diarah Bayar Wang Persaraan RM2.4 Juta Kepada Bekas Suami

Bintang Hollywood Jessica Alba perlu memindahkan RM2.4 juta daripada dana persaraannya kepada bekas suami, Cash Warren, susulan proses perceraian mereka.

Jessica Alba Diarah Bayar Wang Persaraan RM2.4 Juta Kepada Bekas Suami
Gambar: gempak

Bila sebut fasal perkahwinan selebriti, ramai yang terbayang majlis gilang-gemilang dengan bajet jutaan ringgit. Namun realitinya, proses perpisahan dan pembahagian harta sepencarian juga boleh menelan kos yang bukan sedikit.

Itulah yang dilalui bintang filem terkenal, Jessica Alba. Pelakon berusia 45 tahun itu dilaporkan perlu memindahkan wang berjumlah AS$577,481 (kira-kira RM2.4 juta) daripada manfaat persaraannya kepada bekas suami, Cash Warren.

Iklan

Pampasan Tambahan Selain Harta Sepencarian

Arahan tersebut dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Los Angeles County baru-baru ini sebagai sebahagian daripada persetujuan penyelesaian perceraian mereka. Jumlah RM2.4 juta itu diambil daripada pelan perkongsian keuntungan syarikat milik Alba, HonorBar Inc., yang dinilai setakat pertengahan tahun ini.

Wang persaraan berkenaan sebenarnya berasingan daripada bayaran penyelesaian aset lain. Sebelum ini, pasangan tersebut sudah bersetuju dengan bayaran harta sebanyak AS$3 juta (sekitar RM12.7 juta) yang perlu dilunaskan oleh Alba secara dua kali ansuran.

Warren, 47, diberi pilihan sama ada mahu menerima wang persaraan terbabit secara tunai terus atau memindahkannya ke dalam akaun pelan persaraan persendirian yang lain. Menariknya, perjanjian cerai mereka menetapkan tiada sebarang bayaran nafkah pasangan bulanan dikenakan kepada mana-mana pihak.

Iklan

Bahagi Harta Sama Rata, Jual Rumah Jutaan Dolar

Sepanjang belasan tahun mendirikan rumah tangga, mereka mengumpul pelbagai aset bersama. Menerusi dokumen mahkamah, harta sepencarian seperti kediaman, koleksi karya seni dan perabot dibahagikan secara sama rata.

Bukan itu sahaja, Warren turut menerima AS$5 juta hasil daripada penjualan salah sebuah rumah mereka. Pada masa sama, dana sebanyak AS$500,000 turut diasingkan khas bagi menampung kos serta kebajikan anak-anak.

Malah, kedua-dua mereka juga berhak mendapat bahagian masing-masing daripada hasil royalti atau pendapatan projek filem dan program televisyen yang dihasilkan sepanjang tempoh mereka bergelar suami isteri.

Iklan

Hak Penjagaan Tiga Anak dan Syarat Ketat Mahkamah

Mengenai urusan keluarga, pasangan ini sepakat berkongsi hak penjagaan dari segi undang-undang dan fizikal terhadap tiga anak mereka iaitu Honor (18), Haven (15), dan Hayes (8).

Bagi memastikan emosi anak-anak terpelihara, mahkamah menetapkan syarat yang tegas. Alba dan Warren dilarang sama sekali membincangkan prosiding mahkamah atau memburuk-burukkan antara satu sama lain di hadapan anak-anak mereka yang masih di bawah umur.

Noktah Kisah Cinta Dari Set Penggambaran

Bagi peminat filem Hollywood, kisah cinta mereka berdua pernah menjadi perhatian ramai satu ketika dahulu. Bibit perkenalan mereka bermula seawal tahun 2004 ketika sama-sama terlibat dalam pembikinan filem Fantastic Four.

Iklan

Waktu itu, Alba memegang watak utama sebagai Sue Storm, manakala Warren pula bekerja di sebalik tabir sebagai pembantu pengarah. Mereka kemudiannya mengikat tali perkahwinan pada Mei 2008.

Selepas lebih 16 tahun hidup bersama, hubungan mereka akhirnya menemui titik noktah apabila berpisah pada hujung Disember 2024, sebelum Alba memfailkan perceraian secara rasmi beberapa bulan kemudian atas alasan tiada lagi persefahaman.

Sumber: gempak

Iklan

Baca juga

Iklan