Selepas MCR, Giliran Evanescence Gegarkan Bukit Jalil Sabtu Ini
Belum sempat reda demam MCR, peminat rock era 2000-an bakal dihiburkan pula oleh Evanescence di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada 28 November ini.

Kalau anda rasa demam muzik rock minggu lepas sudah reda, fikir semula. Baju serba hitam dan celak mata yang digayakan masa konsert My Chemical Romance (MCR) tempoh hari jangan disimpan dulu, sebab bahang konsert di Bukit Jalil masih belum selesai.
Baru sahaja hampir 130,000 peminat membanjiri perkarangan stadium sepanjang dua malam lepas, kini giliran kumpulan rock ikonik, Evanescence, pula mengambil alih pentas bagi mengubat kerinduan generasi yang membesar sekitar era awal 2000-an.
Kemunculan Semula Amy Lee Selepas 14 Tahun
Peluang menyaksikan Amy Lee beraksi secara langsung di depan mata bukanlah sesuatu yang selalu hadir. Kali terakhir Evanescence menjejakkan kaki dan beraksi untuk peminat di Malaysia adalah kira-kira 14 tahun yang lalu.
Menerusi konsert Evanescence Live in Kuala Lumpur 2026 yang dibawakan oleh Hello Universe, mereka dijadualkan menggegarkan Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu ini, 28 November. Konsert ini menjadi medan terbaik buat peminat melepaskan rindu terhadap susunan muzik rock dengan sentuhan gothic yang cukup sinonim dengan identiti mereka.
Satu-Satunya Persinggahan di Asia Tenggara
Apa yang membuatkan konsert kali ini lebih istimewa adalah kedudukan Kuala Lumpur sebagai satu-satunya destinasi persinggahan jelajah Evanescence bagi seluruh rantau Asia Tenggara. Peminat dari negara jiran dijangka turut tertumpu di sini untuk tidak melepaskan detik bersejarah ini.
Bukan itu sahaja, pentas konsert malam tersebut akan turut dihangatkan dengan kehadiran penyanyi Poppy selaku artis jemputan khas, sekaligus membawa sentuhan muzik metal dan alternatif alaf baharu sebelum persembahan utama bermula.
Nostalgia Zaman Winamp dan Pemain MP3
Bagi mereka yang meniti zaman remaja pada awal 2000-an, nama Evanescence pasti terpahat kukuh dalam memori. Sejak meledak menerusi album Fallen pada tahun 2003 sehingga berjaya merangkul dua trofi Grammy setahun selepas itu, karya mereka sering menemani hari-hari kita.
Masa itu, kalau buka radio, MTV, ataupun pasang pemain MP3 dan perisian Winamp di komputer, lagu-lagu berhantu inilah yang sentiasa diulang main:
- Bring Me to Life – lagu kebangsaan waktu rasa bertenaga atau buat kerja sekolah.
- My Immortal – lagu wajib layan masa jiwa kacau atau putus cinta.
- Going Under – melodi rancak yang sering dinyanyikan sekuat hati bersama kawan-kawan.
Hakikatnya, ramai peminat kumpulan ini sekarang sudah melangkah ke fasa dewasa yang penuh tanggungjawab. Ada yang sudah bergelar ibu bapa, sibuk dengan urusan kerjaya pejabat, serta komitmen bulanan keluarga yang tiada henti.
Namun, bila muzik mereka berkumandang semula, jiwa remaja itu sekelip mata hidup kembali. Sabtu ini, tiba masa untuk kita raikan kembali kenangan lama bersama ribuan peminat lain di bawah langit Bukit Jalil.
Sumber: gempak
Baca juga

Jessica Alba Diarah Bayar Wang Persaraan RM2.4 Juta Kepada Bekas Suami
Bintang Hollywood Jessica Alba perlu memindahkan RM2.4 juta daripada dana persaraannya kepada bekas suami, Cash Warren, susulan proses perceraian mereka.

Santai Isu Gelaran Primadona, Erra Fazira Anggap 'Acara Bebas' & Tak Ambil Hati
Erra Fazira bersikap terbuka mengenai gelaran primadona yang sering dikaitkan dengannya, menyifatkan pengiktirafan itu sebagai hak dan pandangan peminat sendiri.

PGL The Musical Bakal Kembali Ke KL Tahun Depan, Tiara Sebak Lihat Lakonan Anak
Pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical dirancang kembali ke Kuala Lumpur tahun hadapan susulan sambutan hangat selepas melabuhkan tirai baru-baru ini.