Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

Seludup Syabu Bernilai RM4.83 Juta Guna Pesawat Tentera, 5 Pegawai TUDM Ditahan

Taktik sindiket menyeludup dadah bernilai RM4.83 juta guna pesawat tentera akhirnya tumpas selepas lima pegawai TUDM dan enam orang awam ditahan polis.

Seludup Syabu Bernilai RM4.83 Juta Guna Pesawat Tentera, 5 Pegawai TUDM Ditahan
Gambar: ohmymedia.cc

Satu pendedahan mengejutkan baru-baru ini apabila kemudahan penerbangan milik pasukan keselamatan negara didapati telah disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab. Lebih membimbangkan, ia melibatkan cubaan menyeludup bahan terlarang rentas sempadan dengan nilai jutaan ringgit.

Seramai 11 individu telah diberkas oleh pihak berkuasa, dan apa yang mengejutkan ramai, lima daripada mereka merupakan pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Enam lagi individu yang ditahan pula merupakan orang awam.

Iklan

Guna Pesawat Ketenteraan Seludup Syabu Ke Sabah

Operasi bersepadu ini dijalankan hasil risikan rapi antara Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama Cawangan Provos Marsyal TUDM. Tangkapan dilakukan menerusi beberapa serbuan di sekitar kawasan Lembah Klang serta Labuan pada 17 November lalu.

Berdasarkan siasatan awal, sindiket terbabit dikesan menggunakan laluan penerbangan ketenteraan TUDM untuk membawa dadah dari Semenanjung terus ke Sabah. Bahan terlarang berkenaan kemudiannya dirancang untuk diedarkan ke pasaran negara jiran seperti Indonesia dan Filipina.

Rampasan kali ini bukan kecil anak. Pihak polis berjaya menyita kira-kira 96.64 kilogram dadah disyaki syabu bernilai RM4.83 juta. Jumlah bekalan dadah sebesar itu dipercayai mampu merosakkan sehingga 483,000 individu jika ia berjaya lolos ke pasaran.

Iklan

Dua Orang Awam Jadi 'Koordinator', Dalang Masih Diburu

Kumpulan ini dikesan mula aktif menjalankan pergerakan haram mereka sejak bulan Julai lalu. Kemudahan serta kepercayaan yang diberikan kepada individu tertentu dalam institusi keselamatan nampaknya telah dieksploitasi demi keuntungan jenayah.

Daripada enam individu awam yang ditahan, dua daripadanya disyaki bertindak sebagai koordinator untuk menyelaraskan urusan pengedaran dadah terbabit. Polis kini sedang giat menjejaki seorang lagi lelaki warga tempatan yang disyaki menjadi dalang utama bagi melumpuhkan seluruh rangkaian sindiket ini.

Hasil ujian saringan air kencing mendapati dua daripada suspek awam positif dadah jenis methamphetamine, manakala seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Iklan

Kereta Disita, Hukuman Berat Menanti

Selain merampas dadah bernilai jutaan ringgit, pihak berkuasa turut menyita dua buah kenderaan iaitu Honda CR-V dan Toyota Vios yang dianggarkan bernilai RM126,062 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

Kesemua lima pegawai TUDM kini direman selama tujuh hari bermula 18 hingga 24 November, manakala enam suspek awam direman antara dua hingga lima hari bagi membantu siasatan terperinci.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Sekiranya didapati bersalah, mereka berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup berserta sebatan tidak kurang daripada 12 kali.

Iklan

Tindakan tegas dan pantas pihak berkuasa dalam membongkar kes ini wajar dipuji demi memastikan nama baik serta maruah institusi pertahanan negara terus terpelihara daripada anasir tidak bertanggungjawab.

Sumber: ohmymedia.cc

Iklan

Baca juga

Iklan