Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

Seleweng Budi Madani: Lesen Stesen Minyak Di Nibong Tebal Berdepan Risiko Batal

Sebuah stesen minyak di Nibong Tebal berdepan tindakan tegas hilang lesen susulan dakwaan penyelewengan subsidi Budi Madani bernilai lebih RM270,000.

Isu ketirisan subsidi bahan api nampaknya kembali panas. Kali ini, sebuah stesen minyak yang beroperasi di Sungai Buaya, Nibong Tebal, Pulau Pinang terpaksa berdepan tindakan tegas pihak berkuasa apabila didakwa terlibat dalam aktiviti penyelewengan subsidi petrol dan diesel.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak berdiam diri dan memandang serius perkara ini. Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan bahawa pemilik stesen minyak berkenaan boleh berdepan tindakan gantung atau pembatalan lesen barang kawalan berjadual (CSA) sekiranya siasatan membuktikan mereka bersalah.

Iklan

Siasatan Bersama PDRM Dan KPDN

Langkah awal telah pun diambil dengan laporan polis dibuat bagi membolehkan siasatan rapi dijalankan. Siasatan kini sedang giat berlangsung dengan diterajui oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama KPDN serta beberapa agensi berkaitan bagi mencari punca dan pihak yang bertanggungjawab.

Menurut Armizan, sebarang percubaan memanipulasi subsidi kerajaan memberikan kesan kewangan yang amat besar kepada negara. Oleh itu, tindakan tegas memang wajar dikenakan terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan atas bantuan yang disalurkan untuk rakyat.

Lebih 1,000 Transaksi Pintasan Manual Dikesan

Sebelum ini, Kementerian Kewangan sudah pun mengambil tindakan awal dengan menyekat stesen minyak terbabit daripada terus menjual bahan api bersubsidi RON95 dan diesel di bawah inisiatif Budi Madani. Sekatan itu dibuat selepas sistem mengesan corak transaksi yang mencurigakan.

Iklan

Hasil semakan lanjut terhadap rekod jualan mendedahkan beberapa fakta yang membimbangkan:

  • Terdapat lebih 1,000 transaksi dilakukan menggunakan kaedah pintasan manual.
  • Jumlah bahan api yang terlibat melebihi 100,000 liter petrol.
  • Nilai subsidi kerajaan yang terjejas dianggarkan mencecah lebih RM270,000.

Maklumat MyKad Digunakan Tanpa Izin

Paling mengejutkan, tembelang ini mula pecah selepas beberapa penerima sah Budi Madani tampil membuat aduan. Mereka mendakwa maklumat MyKad kepunyaan mereka telah disalahgunakan tanpa pengetahuan untuk membeli minyak bersubsidi di premis tersebut.

Bayangkan, mangsa yang langsung tidak tahu apa-apa tiba-tiba mendapati kelayakan atau rekod subsidi mereka digunapakai oleh pihak lain. Situasi seperti ini jelas menindas golongan yang benar-benar layak menerima manfaat daripada inisiatif kerajaan.

Iklan

Buat masa ini, tindakan terhadap lesen perniagaan stesen minyak terbabit masih bergantung kepada keputusan penuh siasatan pihak berkuasa. Jika terbukti ada salah laku, pengusaha berkenaan terpaksa bersedia menanggung padah atas perbuatan yang merugikan dana awam ini.

Sumber: ohmymedia.cc

Iklan

Baca juga

Iklan