Dulu Guna Kereta Jelajah Pantau Liputan, Kini Telefon Pintar Jadi 'Mata' MCMC
Dulu MCMC ronda satu Malaysia guna kenderaan khas, kini aplikasi MCMC Nexus guna telefon pengguna kumpul data liputan internet.
Kalau anda perasan, suatu ketika dahulu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terpaksa turun padang melakukan ujian lapangan bagi memantau liputan internet. Kaedah ‘drive test’ menggunakan kenderaan khas dengan antena bergerak dari satu tempat ke tempat lain untuk menguji isyarat telekomunikasi.
Walaupun cara itu masih ada, sekarang cara pemantauan sudah berubah selaras dengan teknologi terkini. Melalui aplikasi MCMC Nexus yang dilancarkan secara rasmi baru-baru ini, telefon pintar milik pengguna sendiri kini menjadi alat untuk mengumpul data liputan.
Bukan Sekadar Uji Kelajuan Internet Biasa
Aplikasi MCMC Nexus bukan sekadar menguji kelajuan muat turun dan muat naik semata-mata. Pengguna juga boleh melihat bacaan ping dan jitter, serta menggunakan fungsi tinjauan laluan dan bangunan bagi menyemak kualiti rangkaian 4G, 5G dan Wi-Fi di kawasan masing-masing.
Sejak mula diperkenalkan secara berperingkat awal tahun ini, aplikasi berkenaan sudah mencatatkan 51,415 muat turun. Apa yang mengagumkan, sebanyak 168 juta titik data kualiti rangkaian di seluruh negara telah berjaya dikumpulkan daripada orang ramai.
Maklumat ini diterima secara automatik oleh MCMC serta penyedia perkhidmatan telekomunikasi. Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching menjelaskan bahawa data tersebut digunakan bagi mengenal pasti kawasan dengan liputan lemah dan bermasalah supaya tindakan penambahbaikan dapat disasarkan dengan lebih tepat.
Data Dah Banyak, Pengguna Nak Tahu Tindakan Susulan
Langkah moden ini turut mendapat perhatian bekas Pengerusi Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) yang kini Setiausaha Kehormat myDigitalConsumer, Sha’ani Abdullah. Beliau berkongsi bahawa pada zamannya dahulu, kenderaan MCMC memang perlu menjelajah ke serata negara untuk mengesan kualiti isyarat, jadi aplikasi ini jelas memudahkan banyak pihak.
Pun begitu, Sha’ani menegaskan bahawa mengumpul data hanyalah langkah pertama. Persoalan yang paling bermain di fikiran rakyat sekarang ialah sejauh mana tindakan susulan benar-benar diambil selepas masalah rangkaian dikesan.
Bagi memastikan ketelusan, beliau mencadangkan agar sistem ini mempunyai mekanisime penjejakan seperti Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA). Dengan cara itu, pengguna yang menyumbang data boleh melihat sendiri perkembangan kerja pembaikan oleh syarikat telekomunikasi.
Cadang Satukan Dalam Aplikasi Utama Kerajaan
Selain itu, Sha’ani turut menyarankan agar fungsi pengujian MCMC Nexus diserapkan terus ke dalam aplikasi utama kerajaan yang sedia ada. Langkah tersebut dilihat lebih praktikal supaya orang ramai tidak perlu memuat turun terlalu banyak aplikasi berasingan.
Semakin ramai yang guna, semakin jelas gambaran sebenar kualiti internet negara. Apa yang penting, data jutaan titik ini jangan sekadar jadi paparan angka, sebaliknya diterjemahkan kepada internet yang lebih stabil untuk dinikmati semua.
Sumber: rotikaya
Baca juga
Kuota Dipotong Negara Penerima, UNHCR Akui Sukar Tempatkan 2.4 Juta Pelarian
UNHCR mendedahkan sasaran global menempatkan 2.4 juta pelarian dijangka sukar dicapai susulan tindakan negara penerima memotong kuota serta mengetatkan syarat kemasukan.
Seleweng Budi Madani: Lesen Stesen Minyak Di Nibong Tebal Berdepan Risiko Batal
Sebuah stesen minyak di Nibong Tebal berdepan tindakan tegas hilang lesen susulan dakwaan penyelewengan subsidi Budi Madani bernilai lebih RM270,000.
Raih Semua A SPM & Flat 4 STPM, Anak Peserta FELCRA Ditaja Belajar Sampai Habis
Khabar gembira buat warga FELCRA apabila anak peserta yang cemerlang SPM dan STPM bakal ditaja sepenuhnya yuran pengajian hingga tamat belajar.