Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

Selepas Waze Diharamkan, Kerajaan Kini Digesa Tamat Kontrak Dengan AWS

BDS Malaysia menggesa kerajaan menamatkan semua kontrak dengan Amazon Web Services (AWS) susulan larangan penggunaan Waze demi keselamatan negara.

Selepas Waze Diharamkan, Kerajaan Kini Digesa Tamat Kontrak Dengan AWS
Gambar: rotikaya

Isu larangan penggunaan aplikasi Waze dalam kalangan penjawat awam baru-baru ini sememangnya menarik perhatian ramai. Keputusan tegas itu dibuat susulan kebimbangan terhadap keselamatan siber dan kedaulatan negara, memandangkan aplikasi navigasi popular berkenaan berpangkalan di Israel.

Bagaimanapun, timbul pula perkembangan baharu apabila BDS Malaysia tampil menyuarakan pandangan bahawa langkah keselamatan ini tidak wajar berhenti setakat aplikasi jalan raya sahaja. Kali ini, tumpuan mereka terarah kepada penyedia perkhidmatan awan gergasi dunia, Amazon Web Services (AWS).

Iklan

Desak Tindakan Serupa Terhadap AWS

BDS Malaysia menyambut baik langkah kerajaan melarang penjawat awam menggunakan Waze ketika bertugas rasmi, termasuk saranan kepada orang ramai agar berhenti menggunakannya. Namun, pertubuhan itu berpandangan kerajaan perlu konsisten dengan mengambil tindakan sama terhadap AWS.

Menurut mereka, AWS didakwa mempunyai kaitan dengan rejim Zionis menerusi penglibatan dalam Projek Nimbus. Isu pembabitan gergasi teknologi itu bukanlah perkara baharu, malah BDS Malaysia bersama 22 badan bukan kerajaan (NGO) lain pernah membangkitkannya secara bersama pada awal Oktober 2024.

Mereka menegaskan, syarikat yang terpalit dengan projek sedemikian tidak wajar diberi ruang di Malaysia sekiranya negara ini benar-benar teguh menyokong perjuangan pembebasan Palestin.

Iklan

Risiko Terhadap Keselamatan Data Sensitif

Bagi BDS Malaysia, isu ini bukan sekadar soal sokongan moral semata-mata, tetapi melibatkan keselamatan data kerajaan sendiri. Memberikan projek utama kepada entiti seperti AWS dikhuatiri membolehkan syarikat terbabit mengakses maklumat sensitif milik negara.

Keadaan ini dilihat bertentangan dengan rasional asal mengapa aplikasi Waze disekat. Mereka turut mengingatkan agar kerajaan tidak dilihat hanya memberi tumpuan kepada ancaman berskala kecil, tetapi pada masa sama terlepas pandang ancaman lain yang jauh lebih besar impaknya kepada kedaulatan data.

Saranan Beralih Ke Alternatif Tempatan

Larangan penggunaan Waze untuk penjawat awam sebelum ini diputuskan berkuat kuasa serta-merta hasil Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN). Langkah tersebut diambil bagi memastikan tiada ketirisan maklumat rasmi berlaku semasa bertugas.

Iklan

Malah, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menggesa rakyat Malaysia beralih kepada aplikasi buatan tempatan seperti TuJu. Penggunaan alternatif tempatan dilihat mampu melindungi maklumat serta data peribadi daripada terus terdedah kepada pihak luar.

Kini, tumpuan terarah kepada respon pihak berkuasa sama ada gesaan terhadap AWS ini akan dipertimbangkan atau dinilai semula demi menjaga integriti keselamatan digital negara.

Sumber: rotikaya

Iklan

Baca juga

Iklan