Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

Scammer Makin Licik Menyamar, WhatsApp Mungkin Diwajibkan Sahkan Nombor

Kerajaan kini meneliti langkah mewajibkan WhatsApp mengesahkan nombor telefon pengguna susulan taktik sindiket penipuan yang semakin menjadi-jadi.

Scammer Makin Licik Menyamar, WhatsApp Mungkin Diwajibkan Sahkan Nombor
Gambar: Harian Metro

Hampir setiap hari ada saja taktik baharu yang digunakan oleh sindiket penipuan untuk menjerat mangsa. Kalau sebelum ini mereka menggunakan panggilan biasa, kini platform pesanan popular seperti WhatsApp pula menjadi lubuk sindiket mencari mangsa.

Terbaharu, Kementerian Komunikasi sedang meneliti kewajaran untuk mewajibkan pengendali aplikasi WhatsApp mengesahkan nombor telefon yang dipautkan pada setiap akaun pengguna. Langkah ini dilihat wajar bagi membendung penyalahgunaan aplikasi tersebut yang semakin berleluasa.

Iklan

Lompang Keselamatan Buka Peluang Kepada Scammer

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil menjelaskan bahawa pada masa ini, WhatsApp tidak menetapkan syarat pengesahan identiti yang ketat untuk setiap akaun. Situasi ini secara tidak langsung membuka ruang yang sangat luas kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk mencipta akaun palsu.

Isu ini rupa-rupanya bukan hanya berlaku di Malaysia, malah turut mendapat perhatian serius di peringkat antarabangsa melalui perbincangan bersama Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU). Sindiket penipuan di serata dunia dikesan menggunakan modus operandi yang hampir sama untuk memperdaya orang ramai.

Taktik Menyamar Pegawai MCMC

Langkah tambahan ini mula dipertimbangkan dengan lebih serius susulan penahanan seramai 61 individu di Selangor oleh pihak polis baru-baru ini. Kebanyakan mereka disyaki terbabit dalam sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Iklan

Sebelum ini, MCMC sebenarnya sudah berjaya melaksanakan perubahan teknikal bagi menyekat panggilan jenis spoofing. Namun, sindiket terbabit cepat beralih arah dan menggunakan kaedah lain pula apabila laluan lama mereka disekat.

Kerajaan menegaskan bahawa sesiapa sahaja yang ditahan dan didapati bersalah akan disiasat serta dihadapkan ke muka pengadilan mengikut lunas undang-undang sedia ada.

Cara Elak Jadi Mangsa Panggilan Palsu

Bagi mengelakkan orang ramai daripada terus terpedaya, Fahmi turut berkongsi beberapa peringatan penting sekiranya menerima panggilan yang mencurigakan:

Iklan
  • MCMC tidak buat panggilan amaran: Pihak berkuasa tidak pernah sesekali menghubungi orang awam untuk memaklumkan bahawa talian telefon mereka akan dipotong.
  • Urusan bil bawah bidang kuasa telco: Sebarang isu berkaitan tunggakan bil adalah urusan terus antara pengguna dengan syarikat telekomunikasi masing-masing.
  • Tamatkan panggilan segera: Jika rasa ada sesuatu yang tidak kena, jangan ragu-ragu untuk terus meletakkan telefon.

Sekiranya anda berasa diri anda telah dihubungi oleh pihak yang mencurigakan atau menjadi mangsa penipuan kewangan, segera buat laporan kepada pihak polis atau terus hubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997.

Sumber: Harian Metro

Iklan

Baca juga

Iklan