Siakap KeliLive · Auto-update
Gaya Hidup

Sanggup Berhutang Demi ‘Dating’? Tinjauan Dedah Realiti Kos Janji Temu Anak Muda

Hampir separuh anak muda anggap kos janji temu mahal. Malah, ada yang sanggup berhutang semata-mata mahu keluar bersama pasangan.

Sanggup Berhutang Demi ‘Dating’? Tinjauan Dedah Realiti Kos Janji Temu Anak Muda
Gambar: Harian Metro

Keluar meluangkan masa bersama pasangan memang detik yang ditunggu-tunggu. Namun di sebalik senyuman dan gambar cantik di media sosial, ada satu realiti yang jarang dibincangkan secara terbuka iaitu kos perbelanjaan janji temu yang semakin mencengkam poket.

Perkara ini dibuktikan menerusi dapatan Tinjauan Perbelanjaan Janji Temu (Dating) di Malaysia oleh LEGASI Research. Hasil kajian tersebut mendapati hampir separuh atau 49.3 peratus responden menyifatkan aktiviti janji temu ketika ini memerlukan belanja yang tinggi. Hanya 13 peratus sahaja yang merasakan sebaliknya.

Iklan

Sanggup Berhutang Semata-mata Nak ‘Dating’

Dapatan paling mengejutkan adalah apabila lebih satu daripada 10 lelaki mengaku pernah berhutang semata-mata untuk keluar janji temu. Sebanyak 13.2 peratus responden lelaki berdepan situasi ini, jauh lebih tinggi berbanding 4.9 peratus responden wanita.

Penyelidik Ekonomi LEGASI Research, Firdzan Nur Yassin menjelaskan bahawa keluar berjanji temu bukan sekadar soal meluangkan masa bersama. Ia secara tidak langsung turut memberi tanggungjawab kewangan berbeza antara lelaki dan wanita.

Beliau berkata, walaupun sebahagian besar berbelanja dalam julat yang munasabah, masih wujud individu yang tertekan sehingga memilih jalan berhutang.

Iklan

Berapa Sebenarnya Kos Sekali Keluar?

Bagi kebanyakan pasangan, perbelanjaan bagi setiap janji temu berada dalam lingkungan sederhana tetapi tetap terasa bebannya jika dilakukan kerap:

  • RM51 hingga RM200: Dibelanjakan oleh 52.6 peratus responden untuk satu sesi temu janji.
  • RM100 ke atas: Dikeluarkan oleh 41.8 peratus responden lelaki, malah ada yang mencecah RM300 atau lebih.
  • Komponen utama: Makanan dan minuman kekal menjadi perbelanjaan paling lazim setiap kali berjumpa.

Majoriti responden menyatakan mereka biasanya keluar bertemu pasangan antara satu hingga dua kali sebulan. Sekiranya kekerapan itu bertambah sehingga empat kali sebulan dengan kos RM200 setiap kali, jumlahnya boleh mencecah RM800 sebulan. Angka ini pastinya sangat membebankan bagi mereka yang berpendapatan rendah.

Lelaki Masih Galas Beban Utama Bayar Bil

Dari segi siapa yang membayar bil, budaya lama nampaknya masih tebal. Sebanyak 59.3 peratus lelaki menyatakan mereka cenderung menanggung keseluruhan perbelanjaan janji temu. Angka ini sangat berbeza dengan wanita, di mana hanya 8.2 peratus sahaja yang bertindak menanggung semua kos.

Iklan

Disebabkan faktor ini, tekanan kewangan lebih dirasai oleh kaum adam. Kajian merekodkan 27.5 peratus lelaki mengalami tekanan kewangan berkaitan janji temu, berbanding 16.4 peratus dalam kalangan wanita.

Hakikatnya, julat perbelanjaan antara RM51 hingga RM200 diakui sebagai kadar paling munasabah oleh 40.8 peratus responden. Namun, apa yang paling penting adalah menyesuaikan aktiviti temu janji mengikut kemampuan poket sendiri, tanpa perlu berbelanja lebih hanya semata-mata mahu menjaga hati atau status hubungan.

Sumber: Harian Metro

Iklan

Baca juga

Iklan