Siakap KeliLive · Auto-update
Gaya Hidup

Ramai Pilih Bela Batu Bata Berbanding Kucing, Rupanya Ini Punca Jadi Trend

Trend luar biasa membela batu bata kini popular dalam kalangan belia di China sebagai alternatif santai yang jimat kos dan tidak menuntut komitmen emosi.

Ramai Pilih Bela Batu Bata Berbanding Kucing, Rupanya Ini Punca Jadi Trend
Gambar: Harian Metro

Kalau sebelum ini kita biasa dengar orang membela kucing, anjing, atau arnab, lain pula kisahnya dengan trend yang sedang meletup dalam kalangan anak muda di China. Disebabkan kekangan kewangan dan tekanan hidup yang semakin menghimpit, segelintir belia di sana mula beralih kepada alternatif yang langsung tidak memerlukan belanja besar, iaitu menjadikan batu bata sebagai 'haiwan peliharaan'.

Kedengaran agak melucukan, namun fenomena ini benar-benar menarik minat ramai sehingga tanda pagar mengenainya meraih lebih lima juta tontonan di platform media sosial Weibo. Sebahagian daripada mereka secara terbuka mengakui bahawa menjaga seketul bata menjadi pilihan terbaik apabila mereka sudah tidak mampu membela haiwan berbulu mahupun meluangkan masa untuk keluar berjanji temu.

Iklan

Hanya Perlu Sembur Air, Lumut Mula Tumbuh

Bagi mereka yang terjebak dengan hobi ini, menjaga batu bata disifatkan jauh lebih mudah berbanding memelihara tanaman hiasan biasa. Pemiliknya cuma perlu menyembur air beberapa kali dalam sehari pada permukaan bata berkenaan dan membiarkan spora lumut yang berterbangan di udara menempel padanya.

Lama-kelamaan, lapisan hijau akan mula menyelimuti permukaan batu tersebut. Menariknya, lumut ini seakan-akan mempunyai jangka hayat yang panjang. Walaupun pertumbuhannya boleh terhenti apabila kekurangan air, ia akan kembali segar dan menghijau sebaik sahaja disiram semula.

Seorang pemilik di aplikasi Xiaohongshu berkongsi bahawa hobi ini memberikan ketenangan jiwa tanpa sebarang bebanan. Batu bata tidak memerlukan komitmen untuk membalas kasih sayang, tiada sebarang pencapaian tertentu yang dituntut, dan pemilik tidak perlu rasa tertekan untuk membandingkan perkembangannya dengan orang lain.

Iklan

Kesan Tekanan Hidup Dan Budaya 'Lying Flat'

Jika diperhatikan, kemunculan trend ini mempunyai kaitan rapat dengan realiti pahit yang sedang dihadapi generasi muda di negara tersebut. Ramai belia mula menjauhkan diri daripada jangkaan tradisi masyarakat, seperti berkahwin, menimang cahaya mata, atau bekerja terlalu keras dalam pekerjaan yang meletihkan.

Statistik semasa menunjukkan kira-kira seorang daripada lima individu berumur antara 16 hingga 24 tahun yang bukan pelajar berdepan masalah pengangguran, selain kadar kelahiran negara itu yang terus mencatatkan rekod terendah. Akibat persaingan sengit, sebahagian belia memilih konsep lying flat, iaitu menjalani kehidupan secara lebih santai dan sederhana tanpa terlalu mengejar tuntutan sekeliling.

Pakar Ingatkan Risiko Kesihatan

Di sebalik keghairahan menatap kehijauan lumut pada batu bata, hobi ini sebenarnya menyimpan risiko yang tidak boleh dipandang ringan. Keadaan yang lembap boleh menggalakkan pembiakan kulapuk berbahaya, malah ada pemilik yang mula mengadu mengalami masalah kegatalan pada mata dan hidung berair.

Iklan

Bekas profesor kajian lumut dari Universiti Normal Ibu Kota di Beijing, Xuedong Li, menasihatkan orang ramai agar meletakkan batu bata berlumut di kawasan yang tertutup. Beliau turut menyarankan supaya mereka memakai pelitup muka serta sarung tangan pakai buang semasa mengendalikannya bagi mengelakkan daripada menyedut spora atau mengalami alahan kulit.

Sumber: Harian Metro

Iklan

Baca juga

Iklan