Siakap KeliLive · Auto-update
Artis

Reza Rahadian & Zaskia Adya Mecca Turun Padang, Bawa Ambulans Sertai Protes Di Jakarta

Selebriti popular Indonesia termasuk Reza Rahadian dan Zaskia Adya Mecca mencuri tumpuan apabila turut serta dalam demonstrasi mahasiswa di ibu kota Jakarta.

Kawasan tumpuan Bundaran Hotel Indonesia (HI) di Jakarta Pusat baru-baru ini dibanjiri ribuan penunjuk perasaan yang terdiri daripada penuntut universiti dan kumpulan masyarakat sivil. Namun, apa yang paling menarik perhatian ramai adalah kelibat beberapa nama besar industri seni Indonesia yang turut sama berdiri di tengah lautan orang ramai.

Antara figura terkenal yang kelihatan turun ke jalanan termasuklah pelakon berkaliber Reza Rahadian, aktres Zaskia Adya Mecca, penyanyi Eva Celia serta bekas ahli politik merangkap selebriti, Wanda Hamidah. Kehadiran mereka memberi suntikan semangat kepada perhimpunan yang digerakkan sempena sambutan Hari Sumpah Pemuda itu.

Iklan

Bukan Sekadar Hadir, Zaskia Siap Sedia Bantuan Logistik

Tindakan Zaskia Adya Mecca paling mencuri tumpuan apabila beliau bukan sahaja hadir memberikan sokongan moral, malah membawa bersama kenderaan ambulans ke lokasi himpunan. Isteri kepada pengarah terkenal Hanung Bramantyo ini sememangnya bukan kali pertama terlibat dalam aksi solidariti mahasiswa.

Sebelum ini, beliau sering dilihat menghulurkan sumbangan perubatan dan bekalan makanan buat anak muda yang berdemonstrasi. Pada masa sama, pelakon filem Biru Laut, Reza Rahadian turut berada di lokasi dengan penampilan ringkas memakai topi serta pelitup muka bagi menyuarakan pendiriannya.

Dua lagi selebriti wanita, Eva Celia dan Wanda Hamidah, tampil berani dengan mesej tersendiri. Eva mengenakan baju kemeja-T putih bertulis “Join Us. We fight for a clean government”, manakala Wanda pula memegang sepanduk bertulis “Silence is violence” sebagai tanda enggan berdiam diri terhadap isu rakyat.

Iklan

Laung Slogan 'Tepati Atau Pergi', Tuntut Ketelusan Kerajaan

Demonstrasi yang berlangsung di bawah gerakan #IndonesiaSadar ini dianjurkan bersama oleh Badan Eksekutif Mahasiswa Universitas Indonesia (BEM UI) dan Komite Selamatkan Daulat Rakyat (Komite SADAR). Aksi ini merupakan kesinambungan bantahan yang telah bermula pada 20 Oktober 2026 lalu.

Membawa slogan tegas “Tepati atau Pergi”, perhimpunan tersebut menumpukan bantahan terhadap beberapa dasar pentadbiran Presiden Prabowo Subianto. Antara perkara utama yang menjadi kemarahan rakyat adalah isu kebakaran hutan yang berlarutan tanpa penyelesaian tuntas.

Menerusi gerakan itu, mahasiswa dan aktivis mengemukakan lima tuntutan penting demi membela nasib rakyat terbanyak, antaranya:

Iklan
  • Mendesak kerajaan menetapkan status bencana nasional terhadap pengurusan bencana semasa.
  • Mengheret dan mengadili pihak korporat yang bertanggungjawab dalam isu alam sekitar serta menyelesaikan penyepaduan tadbir urus tanah.
  • Memastikan Belanjawan Negara (APBN) digunakan sepenuhnya untuk kebajikan masyarakat, bukannya dibazirkan untuk agenda politik.
  • Menghentikan pembaziran wang rakyat yang berselindung di sebalik program populis seperti Koperasi Desa Merah Putih (KDMP) serta program Makan Bergizi Gratis (MBG).

Langkah golongan selebriti ini membuktikan bahawa isu kebajikan masyarakat, pengurusan bencana serta ketelusan tadbir urus bukan sekadar beban mahasiswa semata-mata, malah menjadi tanggungjawab bersama seluruh lapisan rakyat.

Sumber: gempak

Iklan

Baca juga

Iklan