PRN Melaka: Kerjasama PH Dan BERSATU Mampu Gugat BN? Ini Ulasan Penganalisis
Desas-desus kerjasama PH dan BERSATU di PRN Melaka makin hangat, namun laluan merampas negeri itu daripada BN dijangka berdepan laluan berliku.

Suhu politik di Melaka makin terasa bahangnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan. Antara topik yang hangat dibualkan di kedai kopi sekarang ialah kemungkinan gabungan baharu antara Pakatan Harapan (PH) dan BERSATU untuk merampas kembali pentadbiran negeri.
Di atas kertas, langkah ini nampak menarik. Kehadiran BERSATU boleh membantu PH mendekati pengundi Melayu yang sebelum ini sukar ditembusi, disokong pula dengan pengaruh pemimpin tempatan yang mereka ada. Tapi persoalannya, adakah formula ini cukup kuat untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN)?
Kubu BN Masih Terlalu Kebal?
Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub, tugas PH untuk membentuk kerajaan bukanlah kerja mudah. Untuk menang selesa, PH perlu menawan sekurang-kurangnya 15 daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Kelebihan ketika ini masih memihak kepada BN. Antara faktor utamanya adalah prestasi Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang menjadi 'poster boy' gabungan itu, di samping kekuatan jentera akar umbi UMNO yang sememangnya sudah lama bertapak kukuh di bumi Hang Tuah.
Kerusi Selamat Dan Pertembungan Sengit
Kalau kita imbas PRN Melaka pada 2021, PH hanya berjaya membawa pulang lima kerusi sahaja iaitu empat melalui DAP dan satu daripada AMANAH, manakala PKR pula pulang dengan tangan kosong.
Empat kerusi milik DAP seperti di Kota Laksamana, Kesidang, Bandar Hilir dan Ayer Keroh dijangka kekal selamat kerana rekod majoriti lampau yang melebihi 5,000 undi. Namun begitu, penganalisis mengingatkan bahawa peralihan sekitar 10 peratus undi masyarakat Cina tetap boleh memberi kesan kepada jumlah majoriti yang bakal diraih.
Pertembungan paling mendebarkan dijangka tertumpu di dua kerusi milik MCA iaitu Machap Jaya dan Klebang. Kedua-dua kawasan ini mencatatkan majoriti tipis bawah 1,000 undi pada pilihan raya lepas, menjadikannya medan tarung yang sangat terbuka.
Risiko 'Penat Percuma' Buat Jentera
Bagi PRN kali ini, PH sudah mengumumkan akan bertanding di 21 kerusi dengan pecahan sembilan untuk PKR, tujuh untuk DAP dan lima untuk AMANAH. Baki tujuh kerusi lagi masih menjadi tanda tanya dan dipercayai disimpan untuk rakan kerjasama.
Walaupun kerjasama dengan BERSATU dilihat ada potensi, pengajaran lalu daripada PRN Johor dan Negeri Sembilan membuktikan bahawa undi tidak semestinya berpindah secara automatik. Sokongan pengundi BERSATU belum tentu mengalir terus kepada calon PH.
Malah, rekod buruk BERSATU di Negeri Sembilan sebelum ini yang tewas di semua 24 kerusi wajar dijadikan amaran awal. PH diingatkan supaya berhati-hati agar pakatan ini tidak sekadar menghabiskan tenaga jentera dan perbelanjaan kempen di kawasan yang sukar untuk dimenangi.
Sumber: Harian Metro
Baca juga

Bukan Sebab Bela Pesawah, Zamir Rungkai Punca Sebenar ZRA Dilapor Polis
Isu laporan polis terhadap aktivis ZRA akhirnya terjawab selepas Zamir Ghazali tampil memperincikan dakwaan kekeliruan data yang dibawa.

Kes Bunuh Pegawai AKPS Di Kuarters KLIA: Suami Bakal Didakwa Esok
Suspek lelaki berusia 37 tahun yang disyaki membunuh isterinya di Kuarters KLIA bakal dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban esok atas pertuduhan bunuh.

Rugi Hampir RM3 Bilion Angkara Scam, PNM Gesa Rakyat Bijak Tapis Maklumat
Kerugian cecah RM2.97 bilion akibat penipuan dalam talian membuktikan kemahiran menapis maklumat kini amat penting agar tidak mudah terjerat.