Siakap KeliLive · Auto-update
Artis

Pernah Ikat Perut Makan Biskut Kering, Elisya Sandha Bersyukur Bebas Hutang PTPTN

Elisya Sandha imbas fasa mencabar zaman IPTA apabila terpaksa alas perut dengan biskut kering dan mi segera sebelum kini berjaya langsaikan PTPTN.

Pernah Ikat Perut Makan Biskut Kering, Elisya Sandha Bersyukur Bebas Hutang PTPTN
Gambar: gempak

Siapa sangka, di sebalik senyuman manis dan kehidupan selesa hari ini, pelakon jelita Elisya Sandha rupa-rupanya pernah melalui fasa getir sebagai pelajar universiti. Zaman poket kering, berkira-kira nak makan tengah hari, dan terpaksa berjimat cermat adalah perkara biasa bagi kebanyakan anak muda di menara gading.

Menerusi coretan santai di platform Threads, Elisya membuka cerita mengenai pengalamannya menguruskan perbelanjaan harian sewaktu menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dahulu.

Iklan

Tunggu Duit Masuk Macam Tunggu Jodoh

Walaupun kini sudah bergelar ibu kepada dua cahaya mata pada usia 27 tahun, Elisya mengakui keletah anak-anak di rumah masih belum dapat menandingi betapa mencabarnya fasa bertahan hidup sewaktu zaman bujang.

Ketika itu, mi segera dan biskut kering menjadi penyelamat utama untuk mengalas perut. Makanan ringkas itulah yang menjadi hidangan harian sementara menanti wang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dikreditkan ke dalam akaun bank.

Malah, Elisya turut berseloroh dengan para pengikutnya bahawa saat menunggu wang pembiayaan tersebut masuk ke akaun terasa begitu mendebarkan, saling tak tumpah seperti menanti kehadiran jodoh.

Iklan

Lega Hilang Beban Besar Di Bahu

Segala keperitan itu akhirnya berbalas dengan satu kepuasan yang sukar digambarkan. Elisya meluahkan rasa syukur yang amat mendalam apabila dia kini berjaya melangsaikan keseluruhan pinjaman pendidikan yang ditanggungnya.

Menurutnya, kejayaan menutup akaun pinjaman tersebut membuatkan dirinya berasa begitu bebas daripada komitmen kewangan yang menghimpit. Rasa berat yang selama ini dipikul di bahu seolah-olah hilang serta-merta selepas hutang berkenaan selesai dibayar penuh.

Sistem Sekarang Lebih Mudah, Semuanya Hujung Jari

Bila menyemak semula akaun menerusi aplikasi myPTPTN baru-baru ini, pelakon ini turut memuji perubahan sistem yang jauh lebih kemas dan moden berbanding zamannya belajar dahulu.

Iklan

Jika dulu peminjam terpaksa beratur panjang di kaunter untuk pelbagai urusan, kini segala semakan baki mahupun urusan simpanan untuk masa depan anak-anak menerusi Simpan SSPN boleh dilakukan terus dari telefon pintar.

Kisah Elisya ini memberi gambaran jelas bahawa kehidupan sebagai mahasiswa memang menuntut pengorbanan yang bukan sedikit. Pada masa sama, komitmennya melunaskan pinjaman wajar dijadikan inspirasi buat peminjam lain agar tidak culas memulangkan amanah yang dipinjam.

Sumber: gempak

Iklan

Baca juga

Iklan