Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

Pangkat Besar Bukan Kebal, PM Anwar Buka Mulut Isu Pegawai Terlibat Seludup Dadah

PM Anwar Ibrahim tegas tiada kompromi terhadap mana-mana pihak termasuk pegawai keselamatan dan TUDM yang didakwa terlibat dalam kegiatan penyeludupan dadah.

Pangkat Besar Bukan Kebal, PM Anwar Buka Mulut Isu Pegawai Terlibat Seludup Dadah
Gambar: ohmymedia.cc

Isu integriti dalam kalangan pasukan keselamatan sekali lagi menjadi bualan hangat ramai. Kali ini, perhatian terarah kepada pendedahan berani mengenai pembabitan pegawai yang sepatutnya menjadi benteng pertahanan negara, namun sebaliknya disyaki terpalit dengan aktiviti penyeludupan dadah dan rasuah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berlembut atau berkompromi dengan mana-mana individu yang cuba merosakkan negara dari dalam. Beliau menyatakan perkara ini secara terbuka kerana tidak mahu timbul sebarang persepsi kononnya pihak berkuasa sengaja melengahkan siasatan atau menutup sebelah mata.

Iklan

Pangkat Tinggi Bukan Tiket Untuk Lepas

Menurut beliau, tindakan tegas wajar diambil tanpa mengira latar belakang mahupun kedudukan individu terbabit. Apabila timbul dakwaan bahawa mereka yang berpangkat tinggi turut terlibat dalam kancah haram ini, tiada ruang untuk bertolak ansur lagi.

Siasatan terkini dilaporkan menyasarkan beberapa pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang memegang jawatan seperti leftenan, kapten, juruterbang serta beberapa orang awam. Perkara ini sudah pun dibawa ke meja perbincangan bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan pucuk pimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Jangan Korbankan Negara Demi Jaga Imej

Satu perkara penting yang ditekankan oleh Anwar adalah jangan sesekali ada cubaan untuk menutup salah laku semata-mata mahu menjaga nama baik atau imej sesebuah jabatan. Keselamatan dan kedaulatan negara jauh lebih berharga berbanding menjaga air muka mana-mana pihak.

Iklan

Walaupun pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan angkatan tentera memerlukan sedikit masa bagi melengkapkan bukti dan keterangan, Anwar mengakui beliau mahu tindakan pantas diambil. Baginya, membiarkan kes seperti ini berlarutan hanya akan menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi keselamatan.

Tiada Guna Tarik Pelaburan Jika Masih Bocor

Dalam pada itu, beliau turut memuji kesungguhan PDRM khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik yang bertungkus-lumus membongkar sindiket terancang menerusi rampasan aset bernilai tinggi serta pembekuan akaun mereka yang terlibat.

Anwar sempat mengingatkan bahawa segala usaha pemimpin membawa masuk pelaburan berbilion ringgit ke dalam negara tidak akan membawa erti sekiranya ketirisan dan ancaman keselamatan dalaman terus dibiarkan berlaku tanpa kawalan tegas.

Sumber: ohmymedia.cc

Iklan

Baca juga

Iklan