Nekad Kurangkan Ubat Ikut Pelan ChatGPT, Wanita Maut Kena Serangan Sawan Mengejut
Seorang wanita di AS maut selepas didakwa mengurangkan dos ubat epilepsi berpandukan arahan ChatGPT. Keluarganya kini memfailkan saman terhadap OpenAI.

Zaman sekarang ramai antara kita suka mencari maklumat atau bertanya kepada teknologi kecerdasan buatan (AI) bila badan rasa tidak sedap. Namun, insiden tragis yang berlaku di Amerika Syarikat ini wajar menjadi pengajaran besar buat semua agar tidak meletakkan kepercayaan bulat-bulat kepada bot sembang dalam urusan perubatan.
Seorang wanita berusia 31 tahun, Bowen Wan, dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Seattle selepas didakwa mengikut aturan ChatGPT untuk mengurangkan dan menghentikan dos ubat epilepsi miliknya tanpa pantauan doktor.
Tekanan Hidup Dan Kerisauan Kesan Sampingan Ubat
Wan merupakan bekas jurutera perisian di Amazon dan sudah lebih satu dekad bertarung dengan penyakit sawan. Rawatan yang diambilnya selama ini terbukti berkesan mengawal serangan tersebut daripada berulang.
Namun, situasi berubah apabila dia diberhentikan kerja pada November 2025. Terdesak mencari pekerjaan baharu demi mengekalkan status tinggal di negara itu, Wan mula risau kesan ubat berkenaan mengganggu kelancaran percakapan dan daya fikirannya ketika sesi temuduga.
Atas rasa bimbang itu, dia beralih kepada ChatGPT untuk meminta panduan bagaimana mahu menurunkan dos ubat daripada 400 miligram kepada 300 miligram, dan seterusnya ke 200 miligram sehari.
Didakwa Sedia Jadual Henti Ubat Sepenuhnya
Menurut dokumen saman yang difailkan oleh keluarganya, chatbot tersebut pada mulanya ada menasihati mangsa supaya berbincang dengan pakar perubatan. Walau bagaimanapun, AI itu didakwa bertukar arah dan menggalakkan Wan meneruskan pengurangan dos secara sendirian.
Lebih membimbangkan, sistem itu dikatakan turut menyediakan jadual terperinci bagaimana dos berkenaan boleh diturunkan sedikit demi sedikit sehingga dihentikan terus dalam tempoh beberapa minggu.
Sepanjang proses tersebut, kesihatan Wan merosot teruk sehingga mengalami kekeliruan dan gangguan ingatan. Rekod menunjukkan Wan menyuarakan kebimbangan mengenai keadaannya sebanyak 158 kali kepada chatbot berkenaan, namun AI itu didakwa hanya memberi respons menenangkan tanpa mendesak mangsa segera mendapatkan rawatan kecemasan.
Ditemui Tidak Bernyawa Selepas Gagal Dihubungi
Pakar neurologi yang merawat Wan, Dr Nicholas Poolos menegaskan bahawa pihak hospital sama sekali tidak akan mengesyorkan pengurangan ubat bagi pesakit sawan yang sudah stabil dengan rawatan sedia ada.
Pemergian Wan hanya disedari selepas ibu bapanya di China gagal menghubunginya selama beberapa hari. Bimbang sesuatu yang buruk berlaku, mereka meminta bantuan seorang rakan untuk memeriksa apartmen Wan sebelum melihat anak mereka sudah tidak bernyawa menerusi panggilan video.
Punca kematian disahkan sebagai Sudden Unexpected Death in Epilepsy (SUDEP), iaitu kematian mengejut yang tidak dijangka dalam kalangan penghidap sawan.
Keluarga Tuntut Keadilan, Saman OpenAI
Susulan kejadian menyayat hati itu, bapa mangsa, Qun Wan memfailkan saman terhadap OpenAI dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sam Altman. Pihak keluarga mendakwa bot sembang berkenaan bertindak seolah-olah doktor bertauliah dan mengetepikan nasihat pakar sebenar.
Sementara itu, jurucakap OpenAI, Drew Pusateri menyifatkan insiden berkenaan sebagai satu tragedi sedih. Beliau menegaskan bahawa ChatGPT bukanlah pengganti rawatan perubatan profesional, sebaliknya sekadar alat bantuan untuk memahami istilah kesihatan.
Pihak syarikat turut memaklumkan bahawa model GPT-4o yang digunakan mangsa sudah tidak lagi ditawarkan. Bagaimanapun, dakwaan sama ada saranan AI tersebut menjadi punca utama kematian mangsa masih belum diputuskan oleh mahkamah.
Sumber: gempak
Baca juga

Kecoh Kes Ayam Mati Sebelum Disembelih di Puchong, JAKIM Tampil Buka Mulut
Susulan rampasan lebih 6.5 tan ayam di Puchong, JAKIM tegaskan ayam yang mati sebelum disembelih berstatus bangkai dan tidak sah dimakan.

PTPTN Kutip RM267.7 Juta Sebulan, Simpan SSPN Lepasi Sasaran Awal
PTPTN berjaya merekodkan kutipan deposit Simpan SSPN sebanyak RM267.7 juta sepanjang Bulan Menabung Simpan SSPN 2026, sekali gus melepasi sasaran RM250 juta yang ditetapkan.

Kecoh Dakwaan Kandang Babi Di Bukit Lagong, MPS Dedah Hasil Siasatan Guna Dron
Kecoh di media sosial kononnya wujud kandang ternakan babi di Taman Rimba Bukit Lagong. Pihak MPS tampil dedah perkara sebenar selepas pemeriksaan udara.