Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

Model Pertanian Brazil Jadi Contoh, Mat Sabu Dedah Strategi Jamin Makanan Negara

Datuk Seri Mohamad Sabu berkongsi formula kejayaan Brazil memacu sektor tani tanpa bergantung subsidi semata-mata, selain persiapan negara hadapi cabaran El Nino.

Model Pertanian Brazil Jadi Contoh, Mat Sabu Dedah Strategi Jamin Makanan Negara
Gambar: Harian Metro

Isu bekalan makanan dan nasib pesawah tempatan sentiasa jadi topik hangat bila kita bercakap tentang masa depan negara. Baru-baru ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkongsi pandangan menarik sewaktu hadir di Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 14 di ibu negara.

Salah satu perkara paling mencuri tumpuan adalah perkongsian beliau mengenai rahsia kejayaan sektor pertanian di Brazil. Siapa sangka, negara itu berjaya melonjakkan hasil tanaman jagung sehingga mengatasi Amerika Syarikat tanpa perlu bergantung harap pada subsidi secara terus kepada petani.

Iklan

Rahsia Brazil: Jaminan Pasaran, Bukan Sekadar Subsidi

Menurut Mohamad, rakan sejawatannya di Brazil menceritakan bahawa kerajaan mereka mengambil pendekatan berbeza. Mereka tidak menyalurkan subsidi tunai, sebaliknya memberi jaminan pembelian untuk apa sahaja hasil tani yang tidak laku di pasaran.

Bila ada jaminan begitu, petani di sana jadi lebih bersemangat untuk bekerja keras memaksimumkan hasil. Mereka tahu penat lelah mereka tidak akan terbuang begitu sahaja kerana pasaran sentiasa ada.

Menyentuh soal subsidi padi negara yang kini mencecah RM2.6 bilion, beliau mengakui ada cadangan supaya bantuan itu dihentikan dan diganti dengan pembelian beras semata-mata. Namun, langkah drastik itu dirasakan belum sesuai kerana pesawah tempatan masih memerlukan sokongan untuk beralih ke arah pemodenan.

Iklan

Contoh Di Thailand Dan Inisiatif Kurangkan Import

Selain Brazil, Mohamad turut memetik cara Thailand mendekatkan dunia penyelidikan dengan orang kampung. Di sana, petani keluar masuk universiti pertanian setiap hari untuk mempelajari inovasi terkini.

Jurang inilah yang mahu dirapatkan di Malaysia agar teknologi yang dihasilkan para penyelidik boleh terus dimanfaatkan petani di bendang dan kebun tanpa menunggu masa yang lama.

Antara langkah lain yang sedang giat dijalankan termasuklah:

Iklan
  • Pengeluaran jagung bijian: Bekerjasama dengan syarikat besar dengan sasaran mencapai 30 peratus bekalan tempatan menjelang 2030.
  • Tanaman bawang tempatan: Memperluaskan hasil kajian MARDI bagi mengurangkan kebergantungan bawang import.
  • Kadar sara diri (SSR): Bekalan ikan menerusi akuakultur serta pengeluaran ayam dan telur kini berada pada tahap yang sangat memuaskan.

Stok Makanan Selamat, Tapi Awas Cuaca Ekstrem

Mengenai kebimbangan ancaman luar dan gangguan sistem rantaian bekalan dunia, orang ramai dinasihatkan tidak panik. Stok penimbal beras negara dijamin mampu bertahan sekurang-kurangnya enam bulan, manakala bekalan ikan pula mencukupi untuk lapan bulan. Sekiranya sistem digital terganggu akibat ancaman siber, FAMA sudah bersedia menguruskan pengedaran makanan secara manual.

Bagaimanapun, cabaran paling getir dalam masa terdekat adalah fenomena El Nino yang diramal bermula selepas Disember ini. Suhu panas melampau yang berpotensi mencecah sehingga 40 darjah Celsius boleh menjejaskan takungan air di tiga empangan utama kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Pesawah dinasihatkan supaya sentiasa patuh kepada jadual penanaman yang ditetapkan. Jika paras empangan berada pada tahap kritikal, keutamaan saliran air terpaksa dialihkan kepada kegunaan domestik terlebih dahulu demi kelangsungan hidup rakyat.

Sumber: Harian Metro

Iklan

Baca juga

Iklan