Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

Disangka Sakit Perut Biasa, Remaja 16 Tahun Campak Bayi Dari Tingkap Tandas

Keluarga sangka hanya sakit perut biasa, rupa-rupanya remaja 16 tahun ini bersalin sendirian dalam tandas sebelum bertindak mencampakkan bayinya keluar tingkap.

Disangka Sakit Perut Biasa, Remaja 16 Tahun Campak Bayi Dari Tingkap Tandas
Gambar: Harian Metro

Memang sukar untuk diterima akal, tetapi inilah tragedi menyayat hati yang menggemparkan sebuah daerah di West Bengal, India. Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun ditahan pihak berkuasa selepas disyaki mencampakkan bayi yang baru dilahirkannya dari tingkap tandas sebuah pusat kejururawatan.

Kejadian yang berlaku pada pagi Sabtu itu bukan sahaja meragut nyawa seorang bayi perempuan yang tidak berdosa, malah mendedahkan rahsia besar yang langsung tidak dijangka oleh ahli keluarganya sendiri.

Iklan

Bermula Dengan Aduan Sakit Perut

Kisah ini bermula apabila remaja terbabit mengadu mengalami sakit perut yang sangat teruk pada lewat malam Jumaat. Melihat keadaannya yang menanggung kesakitan, ahli keluarga segera membawanya ke pusat kejururawatan kendalian Perbandaran Uttarpara di daerah Hooghly untuk mendapatkan rawatan.

Bagi pihak keluarga, mereka langsung tidak mengesyaki apa-apa yang pelik dan menyangka anak mereka itu hanya menghidap sakit perut biasa. Malah, remaja itu sempat menjalani ujian darah pada awal pagi Sabtu untuk mengenal pasti punca sebenar kesakitannya.

Namun, situasi menjadi tegang apabila rasa sakit yang dialaminya dilaporkan semakin memuncak. Remaja berkenaan kemudiannya berjalan bersendirian masuk ke dalam tandas premis tersebut tanpa ditemani sesiapa.

Iklan

Bersalin Sendirian Sebelum Bayi Ditemui Maut

Siasatan awal pihak polis mendedahkan, remaja terbabit rupa-rupanya telah melahirkan seorang bayi di dalam tandas berkenaan tanpa sebarang bantuan perubatan.

Hanya beberapa minit selepas kelahiran itu, dia didakwa bertindak nekad dengan mencampakkan bayinya keluar menerusi tingkap tandas.

Tragedi malang itu akhirnya terbongkar apabila seorang pejalan kaki yang kebetulan lalu di kawasan luar premis terkejut melihat sekujur tubuh bayi berlumuran darah di atas tanah. Orang awam tersebut segera memaklumkan penemuan mengejutkan itu kepada pihak berkuasa premis.

Iklan

Seorang jururawat kemudian bergegas ke lokasi penemuan untuk membawa bayi perempuan itu masuk bagi menerima rawatan kecemasan, namun mangsa disahkan sudah pun meninggal dunia.

Keluarga Bertegas Nafi Tahu Kehamilan

Pemilik pusat rawatan tersebut, Sucheta Mukherjee, mendedahkan bahawa kakitangannya sebenarnya sudah berulang kali bertanya kepada keluarga remaja itu sama ada dia sedang hamil ketika urusan pendaftaran wad dibuat.

Bagaimanapun, ahli keluarganya tetap berkeras menegaskan mereka tidak tahu-menahu mengenai perkara berkenaan. Pihak polis kini sedang menyemak semula kesahihan kenyataan yang diberikan oleh keluarga terbabit.

Iklan

Siasatan kini diteruskan dari pelbagai sudut termasuklah meneliti rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dan mengambil keterangan ibu bapa remaja berkenaan. Pihak polis juga turut menyemak dakwaan penduduk tempatan yang mendakwa kes penemuan janin seumpama itu pernah berlaku di premis tersebut sebelum ini.

Sumber: Harian Metro

Iklan

Baca juga

Iklan