Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

Meninggal Dunia Di Tempat Kerja, Waris Petugas Media Terima Pencen Penakat PERKESO

Keluarga mendiang petugas media Makkal Osai yang meninggal dunia ketika bertugas menerima Pencen Penakat dan Faedah Pengurusan Mayat daripada PERKESO.

Meninggal Dunia Di Tempat Kerja, Waris Petugas Media Terima Pencen Penakat PERKESO
Gambar: ohmymedia.cc

Kehilangan tonggak keluarga secara tiba-tiba memang satu tamparan yang cukup berat, apatah lagi jika ia berlaku ketika arwah sedang gigih mencari rezeki. Situasi inilah yang dilalui oleh waris mendiang Yogeswaran a/l Alagan, seorang petugas media daripada akhbar Makkal Osai yang menghembuskan nafas terakhir di tempat kerja pada 16 Jun 2026.

Namun sekurang-kurangnya, kebajikan balu serta anak-anak mendiang kini mendapat perhatian sewajarnya. Pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mengesahkan bahawa waris mendiang layak menerima Faedah Pengurusan Mayat serta Pencen Penakat di bawah skim LINDUNG Pekerja.

Iklan

Tiga Keluarga Pengamal Media Disantuni

Penyerahan faedah dan penghargaan tersebut disempurnakan sendiri oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan, sempena majlis Anugerah Media PERKESO i LINDUNG u 2026 dan Sambutan Deepavali bersama Media di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur.

Keluarga mendiang Yogeswaran merupakan salah satu daripada tiga keluarga warga media Tamil yang disantuni pada majlis berkenaan sebagai tanda menghargai bakti mereka dalam dunia kewartawanan.

Turut menerima perhatian ialah keluarga mendiang Dr Rajan Boopalan, atau lebih dikenali sebagai B.R. Rajan. Mendiang yang berkhidmat sebagai Editor Kanan Makkal Osai telah berbakti lebih 50 tahun dalam industri sebelum meninggal dunia pada 25 Oktober 2026.

Iklan

Selain itu, penghargaan turut diberikan kepada bekas Pengurus Sumber Manusia Makkal Osai, Indrathavi a/p Kalamelu @ Kalamegam. Beliau yang telah mencarum dengan PERKESO selama kira-kira 40 tahun kini berada dalam keadaan terlantar dan dibantu menerusi bayaran bulanan Pencen Ilat serta Elaun Layanan Sentiasa.

Pengiktirafan Buat Pengamal Media

Majlis berkenaan turut meraikan 16 pengamal media yang memenangi pelbagai kategori anugerah. Anugerah tertinggi iaitu Anugerah Kencana KESUMA PERKESO LINDUNG Semua berjaya dirangkul oleh wartawan New Straits Times, Intan Maizura Ahmad Kamal, menerusi karyanya yang bertajuk The Man Who Comes Knocking.

Karya tersebut menceritakan tentang komitmen Skuad PERKESO Prihatin yang ditubuhkan sejak 2016. Skuad ini berperanan turun padang bagi menjejak pencarum yang ditimpa musibah agar bantuan dapat disalurkan dengan pantas tanpa perlu menunggu lama.

Iklan

Rakan Strategik Salur Maklumat Kebajikan

Menurut Ramanan, penyertaan anugerah media pada kali ini mencatatkan peningkatan mendadak sehingga 66 peratus berbanding edisi sebelum ini. Beliau menegaskan bahawa pengamal media memainkan peranan penting sebagai rakan strategik kerajaan.

Tanpa laporan berita yang meluas, maklumat mengenai perlindungan sosial mungkin sukar sampai kepada pelbagai lapisan masyarakat, bermula daripada pekerja kilang, penghantar makanan, peniaga pasar, hinggalah suri rumah yang memerlukan jaringan keselamatan sekiranya berlaku kecemasan.

Sumber: ohmymedia.cc

Iklan

Baca juga

Iklan