Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

Didakwa Jadi Laluan Seludup Cip Nvidia Ke China, Johari Ghani Buka Suara Isu Syarikat Tempatan

Nama Malaysia terpalit isu sekatan cip AI Nvidia ke China membabitkan syarikat tempatan. Menteri MITI tampil beri amaran dan perjelas status siasatan.

Didakwa Jadi Laluan Seludup Cip Nvidia Ke China, Johari Ghani Buka Suara Isu Syarikat Tempatan
Gambar: ohmymedia.cc

Hangat diperkatakan di peringkat antarabangsa apabila nama Malaysia tiba-tiba terpalit dalam isu pertembungan teknologi antara Amerika Syarikat dan China. Isu ini melibatkan dakwaan penghantaran cip kecerdasan buatan (AI) bernilai bilion dolar keluaran syarikat gergasi Nvidia.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagaimanapun mengesahkan bahawa mereka belum memulakan sebarang siasatan rasmi terhadap sebuah syarikat tempatan, Speedmatrix. Syarikat ini merupakan anak syarikat kepada firma dari Singapura, Megaspeed International.

Iklan

Belum Terima Bukti Kukuh

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Ghani menjelaskan pihaknya masih belum menerima apa-apa bukti sahih yang menunjukkan Speedmatrix melanggar mana-mana undang-undang di Malaysia.

Namun begitu, beliau menegaskan pendirian kerajaan yang cukup jelas dan tidak berkompromi dalam hal ini. Malaysia sama sekali tidak akan membenarkan mana-mana pihak menjadikan negara ini sebagai transit atau laluan untuk memintas undang-undang kawalan eksport antarabangsa.

Menurut beliau, sekiranya pihak kementerian menerima bukti yang boleh dipercayai atau ada permohonan rasmi daripada pihak berkuasa luar, penilaian terperinci akan dibuat. Tindakan tegas berasaskan saluran undang-undang negara akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang didapati bersalah.

Iklan

Apa Sebenarnya Yang Berlaku?

Isu ini mula mendapat perhatian meluas selepas akhbar antarabangsa The New York Times (NYT) mendedahkan laporan siasatan berkaitan Megaspeed dan Speedmatrix. Firma Megaspeed didakwa membeli cip AI Nvidia bernilai sekitar USD4.8 bilion bagi tempoh antara Jun 2024 sehingga Februari 2026.

Cip berprestasi tinggi itu kemudiannya dieksport ke pusat-pusat data yang terletak di Malaysia dan Indonesia. Persoalan mula timbul apabila pusat data berkenaan dipercayai menyediakan perkhidmatan pengkomputeran tersebut kepada pelanggan dari China, sekaligus berisiko melanggar sekatan perdagangan yang ditetapkan oleh AS.

Keadaan menjadi lebih panas apabila Megaspeed turut dikaitkan dengan seorang individu bernama Alice Huang. Beliau yang pernah berkhidmat sebagai eksekutif kanan di syarikat tersebut disyaki sebagai perisik dan sebelum ini pernah menjadi bualan media susulan hubungannya dengan Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, Jensen Huang.

Iklan

Penemuan Kotak Misteri Di Pusat Data

Menurut pendedahan NYT lagi, seorang pegawai perdagangan AS yang turun melawat pusat data kendalian Speedmatrix pada Oktober 2025 telah menemui beberapa kotak cip AI Nvidia yang masih belum dibuka.

Penemuan itu menimbulkan syak wasangka bahawa perkakasan canggih tersebut mungkin dirancang untuk dihantar keluar ke China, walaupun tiada bukti konkrit diperoleh sewaktu pemeriksaan dilakukan. Kebimbangan berkenaan kemudiannya dipanjangkan kepada pihak berkuasa di Malaysia dan Singapura.

Perkembangan ini jelas menunjukkan betapa sensitifnya industri pusat data negara apabila berdepan pertembungan geopolitik kuasa besar dunia. Buat masa ini, kerajaan kekal memantau rapi situasi berkenaan sambil memastikan nama baik serta undang-undang Malaysia terus terpelihara.

Sumber: ohmymedia.cc

Iklan

Baca juga

Iklan