Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

KL Bakal Ada Laluan Pejalan Kaki Berbumbung 22km, RM55 Juta Diperuntuk

Warga kota tak perlu lagi berhujan panas apabila kerajaan bakal membina laluan pejalan kaki berbumbung 22 kilometer merentasi Kuala Lumpur dengan kos RM55 juta.

KL Bakal Ada Laluan Pejalan Kaki Berbumbung 22km, RM55 Juta Diperuntuk
Gambar: ohmymedia.cc

Sesiapa yang biasa berulang-alik menggunakan pengangkutan awam atau gemar berjalan kaki di sekitar ibu kota pasti faham benar cabarannya. Kalau bukan meredah bahang cuaca terik tengah hari, tiba-tiba langit gelap dan hujan lebat pula turun mencurah. Kadang-kadang nak melintas ke blok sebelah pun terpaksa berfikir dua tiga kali sebab tak mahu basah lencun.

Namun, isu ini nampaknya bakal selesai apabila khabar baik diumumkan untuk warga kota. Kerajaan bersetuju memperuntukkan sebanyak RM55 juta bagi melaksanakan projek laluan pejalan kaki berbumbung di Kuala Lumpur.

Iklan

Setiap Kawasan Parlimen Dapat Bahagian

Langkah ini dikongsikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, sewaktu sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan di Dewan Rakyat baru-baru ini. Pembinaannya akan memanfaatkan dana perbelanjaan mengurus Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Perkhidmatan kepada pengundi Setiawangsa tidak terganggu - Hannah Yeoh |  Awani

Secara keseluruhannya, laluan baharu ini akan melibatkan jarak sejauh 22 kilometer. Menariknya, projek ini tidak tertumpu di kawasan tumpuan pelancong semata-mata, sebaliknya diagihkan sama rata iaitu sepanjang dua kilometer bagi setiap kawasan Parlimen di ibu negara.

Fasiliti ini dibina dengan tujuan menghubungkan kawasan perumahan terus ke lokasi penting harian masyarakat setempat, antaranya:

Iklan
May be an image of one or more people and text
  • Hentian bas awam
  • Pusat komersial dan kedai harian
  • Klinik kesihatan
  • Rumah ibadat

Rancangan Tambahan 20 Kilometer Di Pusat Bandar

Bukan itu sahaja, DBKL turut merangka pelan tambahan membabitkan pembinaan laluan berbumbung sepanjang 20 kilometer lagi khusus untuk kawasan pusat bandar. Laluan ini memfokuskan integrasi sistem pengangkutan awam dengan kompleks pejabat, pusat perniagaan serta kawasan riadah seperti Taman Botani dan Taman Tasik Titiwangsa.

Langkah ini merupakan lanjutan daripada usaha yang telah dimulakan sejak 2023, di mana pihak berkuasa tempatan berjaya menyiapkan laluan sepanjang 4.35 kilometer di 29 lokasi sebelum ini.

Projek terbaharu bernilai puluhan juta ini dijadualkan bermula pada Januari 2027 dan disasarkan siap pada suku ketiga tahun berikutnya. Harapnya apabila siap kelak, kemudahan ini dapat mendorong lebih ramai warga tempatan berjalan kaki dengan selamat dan selesa, sekali gus mengurangkan kesesakan jalan raya yang menghimpit bandar raya kita saban hari.

Sumber: ohmymedia.cc

Iklan

Baca juga

Iklan