Kecoh Isu Bekalan Makanan Global, Kerajaan Jamin Simpanan Negara Cukup 6 Bulan
Rakyat dinasihatkan tidak panik membeli barang keperluan kerana stok simpanan makanan dan barangan asas negara dijamin mencukupi sekurang-kurangnya untuk enam bulan.

Sejak beberapa hari kebelakangan ini, ramai yang mula rasa gelisah bila membaca laporan antarabangsa mengenai tindakan beberapa negara luar yang mula meminta rakyat mereka menyimpan stok makanan di rumah. Mana tidaknya, bila dengar perkataan simpan bekalan kecemasan, automatik fikiran kita teringat detik-detik cemas seperti fasa awal pandemik dulu.
Persoalan mula timbul dalam kalangan masyarakat kita, adakah Malaysia juga bakal berdepan situasi yang sama sehingga perlu buat pembelian panik?
Tak Perlu Panik, Simpanan Makanan Negara Stabil
Bagi meredakan kebimbangan orang ramai, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tampil memberikan jaminan yang cukup melegakan. Menurut beliau, tahap keterjaminan bekalan makanan, bekalan air minuman dan pelbagai barangan asas lain di negara ini masih berada dalam keadaan terkawal.
Malah, negara kita mempunyai kapasiti simpanan stok makanan yang mampu bertahan sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan.

Jaminan tersebut menunjukkan bahawa Malaysia masih belum berada dalam fasa yang memerlukan panduan khusus dikeluarkan bagi mengarahkan rakyat mula mengumpul atau menyimpan bekalan kecemasan di rumah masing-masing.
Jauh Daripada Situasi Darurat
Beliau yang mempengerusikan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara menjelaskan perkara ini ketika ditemui pihak media selepas menghadiri satu mesyuarat kerjasama ekonomi dan pelaburan bersama pihak China.
Menurutnya, kerajaan sentiasa mengambil langkah proaktif dalam memastikan barangan asas bagi seluruh rakyat Malaysia dan mereka yang menetap di negara ini sentiasa mencukupi.
Beliau turut menegaskan situasi negara ketika ini sama sekali tidak berdepan darurat makanan atau krisis barangan dapur. Malah, kedudukan Malaysia dijangka akan terus kekal jauh daripada senario buruk berkenaan.

Kenapa Isu Kumpul Stok Makanan Tiba-Tiba Hangat?
Isu ini sebenarnya mula menjadi bualan ramai susulan laporan media antarabangsa yang mendedahkan kira-kira 33 buah negara di seluruh dunia telah mengeluarkan garis panduan kesiapsiagaan kepada penduduk mereka.
Langkah berjaga-jaga itu diambil oleh negara-negara terbabit ekoran kebimbangan terhadap pelbagai risiko global semasa yang semakin meruncing. Antaranya termasuklah ancaman peperangan, fenomena cuaca melampau, kemungkinan berlakunya serangan siber, serta gangguan bekalan tenaga elektrik berskala besar.
Beberapa buah negara maju telah menggesa rakyat mereka menyediakan bekalan keperluan asas:
- Perancis, United Kingdom, Kanada, Jepun, Mexico dan Belanda menggalakkan penduduk menyediakan bekalan makanan dan minuman untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga hari.
- Sweden dan Norway pula menyarankan simpanan stok untuk tempoh sekurang-kurangnya seminggu.
- Jerman mengesyorkan rakyat mereka menyimpan bekalan sehingga 10 hari bagi berdepan kemungkinan gangguan kepada perkhidmatan kritikal.
Walaupun persediaan di peringkat global kelihatan agak membimbangkan, rakyat Malaysia dinasihatkan agar tidak terikut-ikut dengan rasa panik. Teruskan rutin harian seperti biasa dan belilah barangan keperluan mengikut kadar penggunaan keluarga tanpa perlu membuat pembelian panik.
Sumber: ohmymedia.cc
Baca juga

Isu Kertas Siasatan MB Negeri Sembilan: AGC Tampil Nafi Sengaja Lengah Kes
Jabatan Peguam Negara menegaskan tiada sebarang kelewatan dalam meneliti kertas siasatan melibatkan Menteri Besar Negeri Sembilan susulan dakwaan Ahli Parlimen Rasah.

Hantar 180KG Tapi Dapat 160KG? Mat Sabu Jelaskan Kenapa Kilang Potong Berat Padi
Isu pemotongan berat hasil tuaian padi di kilang sering timbulkan persoalan. Mat Sabu tampil jelaskan faktor sebenar di sebalik potongan tersebut.

Rampasan 6.5 Tan Ayam Tak Sah, MB Selangor Gesa Pemeriksaan Premis Diperketat
Susulan rampasan lebih 6.5 tan ayam di Puchong yang disyaki mati sebelum disembelih, kerajaan negeri Selangor mahu tindakan tegas dan pemeriksaan berkala diperketatkan.