Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

Rampasan 6.5 Tan Ayam Tak Sah, MB Selangor Gesa Pemeriksaan Premis Diperketat

Susulan rampasan lebih 6.5 tan ayam di Puchong yang disyaki mati sebelum disembelih, kerajaan negeri Selangor mahu tindakan tegas dan pemeriksaan berkala diperketatkan.

Rampasan 6.5 Tan Ayam Tak Sah, MB Selangor Gesa Pemeriksaan Premis Diperketat
Gambar: rotikaya

Isu status halal makanan terutamanya bekalan ayam mentah sememangnya perkara sensitif bagi pengguna di Malaysia. Apabila timbul keraguan tentang cara sembelihan, sudah pasti ramai yang mula risau tentang apa yang dibeli dan dihidangkan di atas meja setiap hari.

Susulan kes serbuan pusat sembelihan baru-baru ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan bahawa pemeriksaan berkala terhadap premis penyembelihan dan pemprosesan ayam di seluruh negeri perlu dipertingkatkan dengan segera.

Iklan

Kerjasama Agensi Halal Dan PBT Perlu Mantap

Amirudin menyatakan bahawa agensi pengeluar sijil halal serta pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak boleh bergerak secara berasingan. Kerjasama erat antara kedua-dua pihak perlu diperkukuh agar proses pemantauan ke atas premis berkenaan dapat berjalan secara konsisten dan berterusan.

Menurut beliau, tindakan undang-undang yang tegas wajar dikenakan terhadap mana-mana pengusaha yang culas mematuhi peraturan.

Mana-mana pihak yang didapati melanggar syarat atau undang-undang sedia ada perlu berdepan tindakan pendakwaan. Langkah ini penting kerana operasi pusat penyembelihan merupakan perkara yang sangat sensitif dan mesti mematuhi piawaian halal yang tepat.

Iklan

Kantoi Guna Kaedah Renjatan Sampai Ayam Mati Dulu

Kenyataan ini hadir selepas tular laporan mengenai serbuan pihak berkuasa menerusi Ops Taring Chiller di sebuah pusat pemprosesan ayam di Kampung Sri Aman Hilir, Puchong.

Dalam operasi tersebut, beberapa perkara membimbangkan telah terbongkar:

  • Lebih 6.5 tan ayam mentah berjaya dirampas kerana diragui status halalnya.
  • Pemeriksaan mendapati premis menggunakan kaedah renjatan air berarus elektrik (water bath stunning) yang disyaki menyebabkan ayam mati sebelum sempat disembelih.
  • Seramai 12 lelaki warga asing asal Bangladesh dan Pakistan yang bekerja di premis itu ditahan pihak berkuasa.

Kaedah pemprosesan yang tidak mengikut hukum syarak ini jelas mengundang kebimbangan besar dalam kalangan pengguna yang mengharapkan bekalan ayam bersih dan halal di pasaran.

Iklan

Orang Ramai Diminta Jadi 'Mata Dan Telinga'

Bercakap selepas menghadiri program penyerahan Program Nutrisi Selangor (NUTRISEL) di Shah Alam, Amirudin turut menggesa orang ramai agar tidak berdiam diri jika mengesyaki sesuatu yang tidak kena.

Maklumat serta aduan daripada orang awam amat dialu-alukan bagi membantu pihak berkuasa menjalankan siasatan segera. Dengan adanya kerjasama rapat antara masyarakat dan pihak penguat kuasa, aktiviti premis haram atau yang melanggar hukum syarak dapat dibanteras sehingga ke akar umbi demi menjaga hak pengguna.

Sumber: rotikaya

Iklan

Baca juga

Iklan