Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

Kes KLIA: Didakwa Cederakan Polis, Mohd Shuhaily Dibenar Ikat Jamin RM3,000

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain didakwa di mahkamah atas dua pertuduhan mencederakan anggota polis di KLIA dan dibenarkan ikat jamin RM3,000.

Kes KLIA: Didakwa Cederakan Polis, Mohd Shuhaily Dibenar Ikat Jamin RM3,000
Gambar: ohmymedia.cc

Masih ingat lagi video tular yang memaparkan seorang lelaki berpangkat tinggi memarahi individu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini? Kes berkenaan kini sudah sampai ke muka pengadilan.

Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas dua pertuduhan mencederakan dua anggota polis bertaraf Lans Koperal di lokasi kejadian.

Iklan

Dibela 9 Peguam Berprofil Tinggi

Apa yang menarik perhatian ramai dalam prosiding kali ini adalah kehadiran barisan pembelaan yang cukup mantap. Beliau diwakili oleh sembilan orang peguam berprofil tinggi, termasuk bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Yaacob Md Sam.

Peguamnya, Kitson Foong memohon agar mahkamah melepaskan Mohd Shuhaily dengan bon peribadi tanpa sebarang wang jaminan. Hujah beliau cukup ringkas tetapi padu, anak guamnya telah berkhidmat selama 26 tahun bersama pasukan polis, pernah berkhidmat sebagai atase polis di Washington DC dan juga bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Pihak pembelaan turut menegaskan Mohd Shuhaily tidak berisiko untuk melarikan diri kerana tanggungjawab hariannya sendiri adalah mengawasi pintu sempadan negara. Malah, mereka turut merayu agar syarat tambahan seperti serah pasport atau lapor diri di balai polis tidak dikenakan.

Iklan
Mohd Shuhaily dibarisi sembilan peguam kes berprofil tinggi - Newswav

Apa Sebenarnya Pertuduhan Dihadapi?

Mengikut pertuduhan rasmi, Mohd Shuhaily didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Lans Koperal Muhammad Ekmal Sofwan Dirman, 25, dan Lans Koperal Mohamad Faiz Saman, 40.

Kejadian itu didakwa berlaku di Kaunter J, Terminal 1 KLIA sekitar jam 1.27 tengah hari hingga 1.35 tengah hari pada 28 September yang lalu. Beliau didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Keputusan Mahkamah Dan Isu ‘Ulat’ KLIA

Pihak pendakwaan menerusi Timbalan Pendakwa Raya Shahrizat Ismail sebelum itu mencadangkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan dan memohon tertuduh tidak mendekati saksi kes.

Iklan

Majistret Khairatul Animah akhirnya menetapkan wang jaminan sebanyak RM3,000 untuk kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin. Namun begitu, permohonan pihak pembelaan untuk mengecualikan kehadiran beliau semasa pengurusan kes praperbicaraan ditolak, dan sebutan semula kes ditetapkan pada 25 November ini.

Sebelum ini, nama Shuhaily hangat diperkatakan susulan ketegasannya yang mahu membersihkan KLIA daripada kegiatan ulat tiket atau ulat warga asing. Beliau sendiri pernah menyatakan secara terbuka bahawa beliau sedia berdepan apa jua tindakan dan keputusan undang-undang.

Sumber: ohmymedia.cc

Iklan

Baca juga

Iklan