Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

Kenapa Had Asal BUDI95 200 Liter? Tak Sampai 1% Pengguna Pakai Lebih Sebulan

Ramai tertanya-tanya asas kuota asal BUDI95. Rupanya data kerajaan menunjukkan tak sampai 1 peratus pemandu guna lebih 200 liter petrol sebulan.

Kenapa Had Asal BUDI95 200 Liter? Tak Sampai 1% Pengguna Pakai Lebih Sebulan
Gambar: ohmymedia.cc

Isu had kuota petrol bersubsidi BUDI MADANI RON95 (BUDI95) sebelum ini pernah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan orang ramai. Ada yang menganggap kuota 200 liter sebulan yang ditetapkan pada awalnya agak ketat untuk kegunaan harian.

Namun, di sebalik penetapan angka tersebut, rupanya ada rekod dan corak penggunaan sebenar yang menjadi rujukan pihak kerajaan sebelum sebarang polisi diputuskan.

Iklan

Data Sebenar Tunjuk Penggunaan Pemandu

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkongsi perkara itu ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan di Dewan Rakyat.

Hasil analisis data penggunaan sebenar rakyat bagi tempoh Oktober 2025 hingga Mei 2026 mendapati kurang satu peratus pengguna BUDI95 yang menggunakan petrol melebihi 200 liter sebulan secara konsisten. Majoriti besar pemilik kenderaan sebenarnya menggunakan bahan api jauh lebih rendah daripada paras tersebut untuk urusan harian.

Data inilah yang dijadikan asas awal sebelum kerajaan bersetuju menaikkan had kelayakan kepada 300 liter sebulan bermula 1 September lalu demi memberi lebih keselesaan kepada rakyat.

Iklan

Langkah Kawalan Waktu Pasaran Minyak Bergejolak

Penetapan had 200 liter sebelum ini bukan dibuat saja-saja. Langkah tersebut diambil bagi memastikan bekalan bahan api dalam negara kekal terjamin sewaktu pasaran tenaga global berdepan ketidaktentuan akibat krisis di Asia Barat.

Ketika tempoh itu, perbelanjaan subsidi bahan api negara melonjak pada kadar yang sangat membimbangkan. Subsidi RON95 dan diesel yang asalnya sekitar RM700 juta pada Januari 2026 melambung hampir RM5 bilion menjelang Mac, sebelum mencecah RM7.5 bilion sebulan semasa kemuncak krisis berlaku.

Jika tiada had kawalan diperkenalkan waktu itu, kantung kewangan negara berisiko menanggung beban yang terlalu berat akibat ketirisan dan penggunaan tanpa kawalan.

Iklan

Rakyat Layak Tetap Beli RM1.99 Seliter

Walaupun kuota bulanan pernah dihadkan pada 200 liter, Amir Hamzah menjelaskan perkara itu sama sekali tidak menjejaskan hak rakyat tempatan yang layak. Pengguna yang tersenarai tetap dapat mengisi petrol RON95 pada harga subsidi RM1.99 seliter.

Harga pasaran terapung sebenar hanya dikenakan kepada golongan atau pihak yang memang tidak layak menerima bantuan subsidi negara.

Penjimatan Berbilion Ringgit Dipulangkan Semula

Secara keseluruhannya, pelaksanaan skim BUDI95 dijangka membantu kerajaan menjimatkan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun melalui pengurangan ketirisan bahan api bersubsidi.

Iklan

Duit penjimatan tersebut tidak dibiarkan begitu sahaja. Hasil lebihan berkenaan disalurkan semula kepada orang ramai menerusi bantuan tunai bersasar yang lebih menyeluruh, termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Sumber: ohmymedia.cc

Iklan

Baca juga

Iklan