Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

Bukan Sekadar Internet Percuma, NADI Kini Jadi Lubuk Belajar AI Dan Jana Duit

Dulu orang ke NADI cari Wi-Fi, tapi kini pusat komuniti ini tawarkan kemahiran menjahit hingga kecerdasan buatan (AI) yang bantu jana pendapatan.

Bukan Sekadar Internet Percuma, NADI Kini Jadi Lubuk Belajar AI Dan Jana Duit
Gambar: rotikaya

Kalau difikirkan balik, hampir semua orang sekarang sudah ada data internet laju dalam telefon pintar masing-masing. Jadi timbul persoalan, relevan lagi ke kewujudan Pusat Sebaran Maklumat Nasional atau NADI di kawasan kejiranan kita hari ini?

Rupanya fungsi pusat komuniti ini sudah jauh berubah. Ia bukan lagi sekadar tempat orang kampung datang menumpang Wi-Fi percuma atau mencetak dokumen, tetapi kini menjadi hab latihan praktikal yang membuka pintu rezeki kepada penduduk setempat.

Iklan

Bermula Dari Kelas Kemahiran, Kini Jana Pendapatan Sendiri

Menerusi inisiatif NADI Mahir, pelbagai kursus kemahiran jangka pendek ditawarkan seperti jahitan, masakan, fotografi, membaiki gajet hinggalah ke bidang pertanian pintar. Apa yang menarik, kemahiran ini terus dipraktikkan untuk menghasilkan wang saku tambahan.

Sebagai contoh di NADI Kanchong Darat, Banting, seorang peserta muda berusia 23 tahun, Nurul Aini Hayati Rashidi kini mampu memperoleh pendapatan sekitar RM1,400 sebulan dengan hanya bekerja dari rumah selepas tamat latihan jahitan.

Kisah sama turut dikongsi seorang ibu tunggal, Nurul Syuhada Rashidi. Berbekalkan kemahiran mengambil tempahan pakaian seragam, beliau berjaya menjana sehingga RM900 sebulan bagi menyara kehidupan bersama anak kecilnya.

Iklan
Bukan Sekadar Internet Percuma, NADI Kini Jadi Lubuk Belajar AI Dan Jana Duit

Sejak diperkenalkan, seramai 27,000 peserta telah menyertai program kemahiran ini. Malah, gabungan 120 alumni jahitan NADI sebelum ini berjaya membuktikan kebolehan mereka apabila menghasilkan kira-kira 3,000 pasang pakaian seragam sekolah untuk keperluan komuniti setempat.

Langkah Ke Hadapan: Belajar Teknologi AI Secara Percuma

Bukan setakat kemahiran fizikal, pusat ini turut melangkah setapak ke hadapan dengan membawa pendedahan teknologi kecerdasan buatan (AI) kepada masyarakat luar bandar. Kerajaan mahu anak muda bukan sekadar menjadi pengguna biasa aplikasi seperti Gemini atau Copilot, tetapi tahu mengendalikannya untuk mencipta sesuatu yang bermanfaat.

Melalui inisiatif '1 NADI, 1 Prompt Engineer', peserta terpilih dilatih secara khusus untuk menjadi pakar rujukan teknologi AI di kawasan masing-masing. Pendekatan ini memberi kelebihan besar kepada penduduk setempat kerana mereka tidak perlu lagi membayar kos kursus yang mahal semata-mata mahu memahami teknologi baharu.

Iklan

Malah, penguasaan kemahiran digital ini membuka ruang buat anak muda di luar bandar untuk bekerja secara jarak jauh terus dari kampung halaman, tanpa perlu lagi berhijrah bersesak-sesak ke kota raya semata-mata mencari rezeki.

Transformasi Lebih Sejuta Ahli

Dengan kewujudan 1,099 pusat NADI dan lebih 1.9 juta ahli berdaftar di seluruh negara, pusat komuniti ini membuktikan kemudahan awam mampu memberi impak besar sekiranya dimanfaatkan sebaiknya. Nilainya bukan lagi diukur pada kelajuan capaian internet semata-mata, tetapi bagaimana ilmu dan peluang itu digunakan untuk mengubah taraf hidup keluarga.

Sumber: rotikaya

Iklan

Baca juga

Iklan