Kantoi Di Thailand, 5 Rakyat Malaysia Sorok Syabu RM28.9 Juta Dalam 'Sound System'
Cubaan lima lelaki Malaysia menyeludup 240kg syabu bernilai RM28.9 juta tumpas selepas taktik menyorok dadah dalam ruang audio MPV dibongkar polis Thailand.

Ingatkan pandu kenderaan mewah ronda-ronda santai di negara jiran, rupa-rupanya ada agenda gelap di sebaliknya. Lima lelaki warga Malaysia kini berdepan tindakan undang-undang berat selepas cubaan mereka menyeludup dadah bernilai puluhan juta ringgit berjaya dipatahkan oleh pihak berkuasa Thailand.
Bukan sikit jumlahnya. Sebanyak 240 kilogram syabu yang dianggarkan bernilai lebih RM28.9 juta cuba dibawa masuk ke tanah air. Rampasan berskala besar ini adalah hasil kecekapan Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB) Bangkok bersama Polis Metropolitan Divisyen 7 yang berjaya menghidu gerak-geri sindiket berkenaan.
Modifikasi Ruang Audio MPV Mewah
Untuk mengelak daripada dikesan, sindiket ini menggunakan taktik licik dengan membungkus syabu tersebut ke dalam uncang teh Cina. Bungkusan-bungkusan ini kemudiannya disorok kemas di dalam ruangan khas yang telah diubah suai menyerupai sistem audio di bahagian dalam dua buah MPV mewah.
Kalau sekali imbas tengok dari luar, memang nampak seperti sistem pembesar suara biasa. Namun di sebalik kotak audio yang nampak meyakinkan itulah tersimpan bekalan dadah dalam kuantiti yang amat besar.
Kecundang Selepas Diekori Dari Bangkok
Rentetan operasi ini bermula selepas seorang lelaki tempatan yang dipercayai dalang utama sindiket ditahan di Nonthaburi pada 30 Oktober lalu. Hasil maklumat tersebut membawa kepada pengesanan dua buah MPV mewah yang sedang memecut ke selatan Thailand melalui Lebuhraya 35.
Pihak berkuasa bertindak pantas memintas kenderaan pertama di sebuah stesen minyak di kawasan Sam Roi Yot. Sementara itu, kenderaan kedua pula berjaya disekat di sebuah persimpangan sekitar Pranburi.
Tiga lelaki warga Malaysia berusia antara 28 hingga 40 tahun ditahan di dalam dua kenderaan terbabit. Operasi susulan di Bangkok pada hari Jumaat seterusnya membawa kepada penahanan dua lagi lelaki Malaysia berumur 40 tahun, bersama tiga wanita warga Thailand berusia 24 dan 25 tahun.
Upah Lumayan Cecah RM120,000 Sekali Jalan
Mengapa mereka sanggup ambil risiko sebesar ini? Semuanya bermula dengan umpan duit belanja yang sangat lumayan. Siasatan mendapati mereka diupah oleh ketua sindiket warga Malaysia untuk mengangkut bahan terlarang itu dari tengah Thailand ke Songkhla sebelum diseludup masuk ke sempadan negara.
Lebih mengejutkan, suspek mengaku sudah melakukan cubaan ini sebanyak dua hingga tiga kali sebelum tertangkap. Upah yang ditawarkan bagi setiap perjalanan mencecah antara 500,000 baht (sekitar RM60,300) hingga satu juta baht (sekitar RM120,600).
Sindiket ini juga dikesan beroperasi secara tersusun dengan bergantung kepada aplikasi perbualan seperti WeChat dan Telegram untuk berhubung bagi mengelak jejak mereka dikesan.
Bahaya Terjerumus Helah Sindiket
Insiden ini wajar menjadi peringatan keras kepada orang ramai. Tawaran lumayan sekadar untuk memandu kereta atau menghantar barang melintasi sempadan selalunya adalah perangkap sindiket antarabangsa.
Hukuman bagi penyeludupan dadah di Thailand mahupun Malaysia amat berat dan tidak memberi ruang kompromi. Gelap mata dengan bayaran puluhan ribu ringgit akhirnya hanya membawa padah merengkuk bertahun-tahun di sebalik tirai besi di negara orang.
Sumber: OH! Media
Baca juga

Kecoh Di Dewan Rakyat, Ahmad Maslan Akur Tarik Balik Pantun Sebut Perkataan Ini
Sidang Dewan Rakyat bertukar tegang gara-gara pantun Ahmad Maslan yang didakwa tidak sopan, sebelum diarah tarik balik oleh Speaker.

Polis Putus Tangan Diserang: Rakan Suspek Tampil Mohon Maaf, Dakwa Ada Masalah Kesihatan
Rakan kepada suspek kes serangan parang terhadap anggota polis di Kepong tampil memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia sambil mendedahkan keadaan sebenar rakannya.

Usahawan Bawa Produk Sahaja, KUSKOP Sedia Studio TikTok LIVE Percuma
Peniaga kecil kini boleh bersiaran langsung di TikTok Shop LIVE Hub secara percuma lengkap dengan peralatan moden. Hanya bawa produk untuk mula menjual.