Isu Tahanan Rumah Najib: Kenapa AGC Tangguh Walau Denda RM50 Juta Sudah Selesai Dibayar?
Najib masih berada di Penjara Kajang biarpun denda RM50 juta sudah dilunaskan. Rupanya timbul kekeliruan undang-undang yang membabitkan kes 1MDB beliau.

Isu penangguhan tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak terus menjadi topik hangat perbualan ramai kebelakangan ini. Ramai yang tertanya-tanya, mengapa bekas Perdana Menteri itu masih kekal berada di Penjara Kajang walaupun denda sebanyak RM50 juta telah pun selesai dibayar.
Malah, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sebelum ini telah bertitah bahawa perintah pengampunan bersyarat yang diperkenankan pada 18 September lalu adalah jelas dan wajar dilaksanakan. Jadi, di mana sebenarnya titik kekeliruan yang membuatkan Jabatan Peguam Negara (AGC) bertindak menangguhkan pelaksanaannya?
Istilah 'Discharge Forthwith' Jadi Titik Perdebatan
Kunci kepada persoalan ini bermula pada 6 November lalu, sewaktu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan satu dokumen rasmi iaitu Order of Discharge on Payment of Fine selepas bayaran denda dibuat. Dokumen ini rupa-rupanya membawa perbezaan daripada Perintah Pengampunan Bersyarat asal.
Di dalam dokumen mahkamah tersebut, terdapat frasa discharge forthwith yang membawa maksud Najib perlu dilepaskan serta-merta dari Penjara Kajang. Namun pada masa yang sama, beliau masih perlu menghabiskan baki hukuman menerusi tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Penggunaan perkataan ini mencetuskan perdebatan undang-undang yang cukup rumit. Adakah beliau sekadar dipindahkan keluar untuk jalani baki hukuman di kediaman, atau hukuman kes SRC International miliknya dianggap telah lupus sepenuhnya?
Kaitannya Dengan Hukuman Penjara Kes 1MDB
Perbezaan tafsiran ini bukan perkara kecil kerana ia berkait rapat dengan satu lagi kes beliau, iaitu 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Mengikut ketetapan mahkamah, hukuman penjara bagi kes 1MDB hanya akan bermula sebaik sahaja hukuman kes SRC selesai sepenuhnya.
Di sinilah timbulnya dilema undang-undang yang cuba diperhalusi oleh pihak berkuasa:
- Jika hukuman SRC dianggap masih berjalan, Najib berhak menjalani baki tempoh tersebut di rumah seperti yang diperkenankan.
- Namun jika hukuman SRC dianggap sudah tamat serta-merta kerana status pelepasan tadi, hukuman penjara bagi kes 1MDB pula perlu bermula tanpa berlengah. Ini bermakna beliau berpotensi perlu terus kekal di penjara.
Bukan Batalkan Pengampunan Agong
Pada masa sama, timbul persoalan dalam kalangan pemerhati sama ada pihak peguam sepatutnya memohon perintah yang lebih khusus bagi mengelakkan kekeliruan perkataan. Tindakan AGC juga menerima kritikan mengenai sama ada pelaksanaan perintah mahkamah boleh ditangguhkan begitu sahaja tanpa mendapatkan perintah baharu terlebih dahulu.
Bagaimanapun, AGC menegaskan bahawa langkah ini diambil semata-mata bagi meneliti kesan perundangan dan tafsiran syarat pengampunan terhadap kedua-dua kes berkenaan. Langkah ini bukan bermaksud pihak pendakwaan cuba membatalkan perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Ketetapan ini dilihat sangat penting kerana keputusan akhir nanti bukan sahaja menentukan nasib Najib, malah bakal menjadi rujukan perundangan utama sekiranya hukuman tahanan rumah diperluaskan kepada kes-kes lain pada masa hadapan.
Sumber: rotikaya
Baca juga

Disangka Sakit Perut Biasa, Remaja 16 Tahun Campak Bayi Dari Tingkap Tandas
Keluarga sangka hanya sakit perut biasa, rupa-rupanya remaja 16 tahun ini bersalin sendirian dalam tandas sebelum bertindak mencampakkan bayinya keluar tingkap.

Tahanan Rumah Najib: Tak Perlu Rujuk Mahkamah, Zahid Gesa AGC Segerakan Tindakan
Zahid Hamidi menegaskan isu tahanan rumah Najib Razak tak perlu dirujuk ke mahkamah lagi kerana keputusan Lembaga Pengampunan sudah muktamad.

Nik Abduh Buka Mulut Lagi, Usaha Bantu Najib Dapat Hak Turut Dikira Pahala
Nik Abduh berpendapat sebarang usaha memudahkan urusan Najib Razak memperoleh hak yang dibenarkan turut dikira pahala, bukan sekadar sumbangan wang ringgit.