Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

Isu Dadah Di Pangkalan Udara: Rupanya TUDM Sendiri Yang Bongkar Dulu

Ramai terkejut kes dadah di Pangkalan Udara Subang, namun fakta menunjukkan TUDM sendiri bertindak pantas mengesannya sebelum tular.

Isu Dadah Di Pangkalan Udara: Rupanya TUDM Sendiri Yang Bongkar Dulu
Gambar: ohmymedia.cc

Kecoh di media sosial baru-baru ini mengenai penemuan bahan terlarang di Pangkalan Udara Subang. Lebih mengejutkan bila ada tangkapan melibatkan pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sendiri bagi membantu siasatan.

Bila berita sebegini tersebar, macam-macam spekulasi mula timbul. Ada yang tertanya-tanya sama ada kes ini sengaja ditutup atau pihak berkuasa lambat bertindak. Namun, kalau kita teliti kronologi sebenar, ada satu fakta penting yang ramai terlepas pandang.

Iklan

Bukan Tunggu Kantoi, TUDM Sendiri Yang Kesan

Sebenarnya, kes ini terbongkar hasil ketelitian petugas TUDM sendiri. Pada 17 November lalu, pemeriksaan rutin dijalankan terhadap bagasi yang hendak dimuatkan ke dalam pesawat tentera di Bangunan Pergerakan Udara (AMS).

Ketika proses itu berjalan, petugas mengesan lima buah bagasi dan satu kotak yang mencurigakan. Tanpa berlengah, mereka terus melaporkan perkara itu kepada Cawangan Penyiasatan Zon Tengah TUDM sebelum pihak polis dihubungi.

Kira-kira jam 5.20 petang pada hari yang sama, anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman tiba di lokasi. Selepas disahkan mengandungi dadah berbahaya, lima pegawai TUDM terus ditahan untuk siasatan lanjut.

Iklan

Tindakan Pantas Pada Hari Sama

Menteri Pertahanan, Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan bahawa tindakan pantas ini diambil serta-merta pada hari kejadian. Ini bermakna tiada istilah kes ini cuba disembunyikan atau sengaja dilengah-lengahkan seperti tanggapan segelintir pihak.

Malah, penemuan ini adalah yang pertama seumpamanya dikesan melalui pemeriksaan rutin dalaman TUDM. Kejayaan petugas mereka menyekat bahan itu daripada terlepas masuk ke dalam pesawat wajar dipuji, bukannya terus dihukum dengan persepsi liar.

Isu Dibangkitkan Di Luar Negara

Perkara ini kemudiannya menarik perhatian ramai apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkannya ketika berada di Shenzhen, China pada 19 November lalu. Beliau menjelaskan pendedahan awal itu dibuat bagi mengelak salah faham kononnya kerajaan cuba melengahkan tindakan.

Iklan

Namun dari segi garis masa Kementerian Pertahanan (MINDEF), tindakan penguatkuasaan sebenarnya sudah pun selesai digerakkan dua hari lebih awal sebelum kenyataan itu dibuat.

Tiada Kompromi Untuk Pesalah

Walaupun tindakan awal TUDM berjaya menyekat cubaan ini, insiden berkenaan tetap menjadi peringatan tegas buat kawalan keselamatan ketenteraan. Prosedur sedia ada pasti perlu diperkemaskan lagi agar kemudahan rasmi pertahanan tidak disalah guna.

Khaled Nordin turut menegaskan bahawa kementeriannya tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang aktiviti jenayah. Kerjasama penuh diberikan kepada pihak polis dan tindakan keras menanti sesiapa sahaja yang didapati bersalah atau bersubahat.

Sumber: ohmymedia.cc

Iklan

Baca juga

Iklan