Siakap KeliLive · Auto-update
Hiburan

Isteri Bising Berjaga Sampai Subuh, Yusof Haslam Belum Fikir Nak Bersara

Bakal mencecah usia 73 tahun, Datuk Yusof Haslam dedah sebab masih ligat berkarya dan belum bersara walaupun isteri risau lihat rutin kerjanya.

Isteri Bising Berjaga Sampai Subuh, Yusof Haslam Belum Fikir Nak Bersara
Gambar: gempak

Siapa yang tidak kenal dengan pengarah dan penerbit tersohor negara, Datuk Yusof Haslam. Walaupun bakal menginjak usia 73 tahun tidak lama lagi, figura penting di sebalik pelbagai karya hebat ini nampaknya belum mempunyai sebarang perancangan untuk menggantung tugas dalam industri hiburan tanah air.

Hakikatnya, Yusof sendiri mengakui pernah meletakkan sasaran umur tertentu untuk berehat daripada kesibukan kerja. Kali pertama adalah ketika berusia 60 tahun, namun niat itu terbatal kerana dia sedar dirinya akan cepat berasa bosan jika duduk diam tanpa berbuat apa-apa.

Iklan

Perkara yang sama berulang kembali sewaktu usianya mencecah angka 70 tahun. Hasrat untuk noktahkan karier tetap tidak kesampaian kerana permintaan terhadap karyanya masih terus mengalir tanpa henti.

Pentingkan Rezeki Kru Produksi

Antara karya yang masih menerima sambutan hangat dan permintaan bersambung termasuklah jenama popular seperti Gerak Khas sehinggalah kepada naskhah terbaharu, Projek Peronda.

Bagi penerbit berpengaruh ini, selagi diberikan rezeki dan peluang, dia akan terus menghasilkan karya baharu. Apa yang lebih menjadi keutamaannya adalah nasib para pekerja di belakang tabir.

Iklan

"Sekurang-kurangnya kru produksi saya ada kerja," jelasnya ringkas tentang tanggungjawab menjaga periuk nasi team produksinya.

Isteri Risau Bekerja Hingga Subuh

Walaupun komitmennya terhadap dunia seni tidak pernah luntur, rutin kerja Yusof rupa-rupanya sering menimbulkan rasa risau di hati isterinya, Datin Patimah Ismail.

Yusof menceritakan bahawa isterinya ada ketikanya membebel dan tidak putus-putus mengingatkan dirinya supaya mendapatkan rehat yang cukup, lebih-lebih lagi faktor usia yang semakin lanjut.

Iklan

Rupanya, Yusof mempunyai satu sudut khas di hujung bilik tidur untuk dia fokus menyiapkan skrip. Kadang-kadang dia leka menaip sehingga jam tiga atau empat pagi tanpa sedar waktu berlalu.

Apabila azan Subuh berkumandang, isterinya yang terjaga akan datang menepuk bahu dan menyuruhnya tidur. Patimah sangat bimbang suaminya jatuh sakit akibat tidak cukup tidur memandangkan usianya bukan lagi muda.

Ambil Inspirasi Tokoh Pemimpin

Bagi Yusof, kunci utama untuk kekal aktif pada usia emas adalah kekuatan semangat dalam diri. Dia tidak mahu menjadikan faktor umur sebagai alasan untuk berhenti menyumbang bakti kepada industri yang dicintainya.

Iklan

Dia turut mengambil inspirasi daripada ketahanan tokoh-tokoh pemimpin negara yang masih bertenaga memikul tanggungjawab besar. Antaranya termasuklah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masih memimpin negara walaupun hampir mencecah usia 80 tahun, serta Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu mentadbir negara dahulu.

Selagi tubuh badan masih sihat dan kudrat masih mengizinkan, Yusof bertekad untuk terus melangkah dan berkarya demi industri seni tanah air.

Sumber: gempak

Iklan

Baca juga

Iklan