Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

HRD Corp Dan MEF Kumpul 105 Majikan, Perjelas Isu Levi Serta Jurang Kemahiran

Pertemuan HRD Corp bersama 105 majikan dan MEF kupas ketelusan pengurusan levi, syarat baharu geran latihan serta langkah atasi jurang kemahiran pekerja tempatan.

HRD Corp Dan MEF Kumpul 105 Majikan, Perjelas Isu Levi Serta Jurang Kemahiran
Gambar: ohmymedia.cc

Isu kemahiran pekerja dan cara dana latihan diuruskan sering jadi topik hangat dalam kalangan pemain industri. Mengambil langkah proaktif, Human Resource Development Corporation (HRD Corp) bersama Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) telah mengumpulkan seramai 105 majikan daripada pelbagai sektor untuk duduk semeja.

Menerusi program HRD Corp Pocket Talk bertajuk 'Dari Dasar Ke Majikan', sesi ini menjadi ruang bersemuka untuk majikan menyuarakan pandangan sebenar dari lapangan, selain memahami dengan lebih jelas ke mana hala tuju dana caruman mereka disalurkan.

Iklan

Pegang Amanah Wang Caruman Majikan

Ketua Eksekutif HRD Corp, Dato’ Shamir Aziz menegaskan pihaknya amat sedar tentang tanggungjawab besar yang digalas sebagai pemegang amanah wang levi syarikat-syarikat di Malaysia. Menurut beliau, tumpuan utama agensi itu ketika ini adalah memastikan setiap sen dana caruman benar-benar dipulangkan dalam bentuk latihan yang berkualiti serta relevan.

Beliau turut menjelaskan bahawa usaha menutup jurang kemahiran tenaga kerja bukan sekadar tentang mengejar angka atau memperbanyakkan jumlah kursus. Sebaliknya, modul yang dibina perlu seiring dengan ledakan teknologi baharu dan perubahan pesat pasaran kerja agar pekerja kekal berdaya saing.

Syarat Permohonan 14 Hari Dan Pengecualian Faedah

Bagi memperkemas urus tadbir dan mengelakkan ketirisan, beberapa ketetapan penting turut dikongsi bersama majikan. Antara perkara utama yang diketengahkan termasuk:

Iklan
  • Syarat permohonan awal: Majikan kini diwajibkan menghantar permohonan geran latihan sekurang-kurangnya 14 hari sebelum tarikh kursus bermula, di mana lebih 26,000 sesi latihan telah disahkan setakat ini.
  • Semakan kos: HRD Corp sedang menilai semula Allowable Cost Matrix (ACM) berdasarkan maklum balas majikan dan penyedia latihan.
  • Inisiatif JJBL: Menerusi Jelajah Jom Bayar Levi, kempen pengecualian faedah tunggakan levi yang ditawarkan kini mencatatkan nilai melebihi RM200 juta.

Latihan Staf Bukan Sekadar Prosedur Atas Kertas

Sementara itu, Presiden MEF, Tuan Haji Nik Mustapha Nik Mohamed mengingatkan warga industri supaya tidak memandang enteng program peningkatan kemahiran staf. Beliau menasihati para majikan agar melihat kursus latihan sebagai pelaburan masa depan syarikat, bukan semata-mata urusan pentadbiran untuk 'menghabiskan' dana caruman.

MEF yang kini mewakili lebih 30,000 majikan di seluruh negara turut meminta proses permohonan latihan dipermudahkan lagi dengan prosedur yang pantas dan kos yang berpatutan. Sinergi berterusan ini diharap dapat melahirkan lebih ramai pekerja tempatan yang tangkas, berkemahiran tinggi dan sedia mendepani cabaran ekonomi semasa.

Sumber: ohmymedia.cc

Iklan

Baca juga

Iklan