Siakap KeliLive · Auto-update
Hiburan

Ella Bakal Beraksi Bersama Yuna & Ziana Zain, 'Sidang Penutup' 5 Disember Ini

Selepas kumpul lebih 70,000 peminat, Ratu Rock Ella bakal melabuhkan tirai konsert Majlis Tertinggi Rockqueen bersama Yuna dan Ziana Zain pada 5 Disember.

Ella Bakal Beraksi Bersama Yuna & Ziana Zain, 'Sidang Penutup' 5 Disember Ini
Gambar: ohmymedia.cc

Aura Ratu Rock negara kita memang langsung tak pernah pudar. Selepas berjaya menggegarkan pentas dan menghimpunkan puluhan ribu peminat di tiga lokasi berbeza, Ella kini bersedia untuk melabuhkan tirai siri konsert berskalanya dengan satu persembahan kemuncak.

Konsert yang diberi nama Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Sidang Penutup itu dijadualkan berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jalil pada 5 Disember ini. Menariknya, pentas kali ini bakal diserikan dengan kehadiran dua nama besar industri muzik tempatan iaitu penyanyi bertaraf antarabangsa, Yuna Zarai, dan penyanyi bersuara lantang, Datuk Ziana Zain.

Iklan

Gabungan Tiga Generasi Di Bawah Satu Bumbung

Gandingan Ella bersama Ziana dan Yuna pastinya menjadi tumpuan utama kerana menyatukan penyanyi daripada latar belakang muzik serta generasi yang berbeza. Ziana sebelum ini pernah membuat kemunculan istimewa dalam konsert edisi Pulau Pinang, manakala Yuna pula bakal menyuntik elemen kontemporari ke dalam malam penuh bertenaga itu.

Pengumuman konsert ini sebenarnya melunaskan apa yang pernah dibayangkan oleh Ella sewaktu menerima Anugerah Sri Wirama pada AIM25 baru-baru ini. Bagi penyanyi yang sudah lebih empat dekad bertapak dalam industri seni, peluang bertemu peminat daripada pelbagai lapisan umur sepanjang tahun ini adalah sesuatu yang sangat berharga.

Ella Bakal Beraksi Bersama Yuna & Ziana Zain, 'Sidang Penutup' 5 Disember Ini

Ella sendiri menyifatkan setiap perjalanan pasti ada penghujungnya, dan malam penutup itu diharap menjadi memori penuh kasih sayang serta kegembiraan yang akan kekal terpahat dalam ingatan semua yang hadir.

Iklan

Peminat Berpeluang Pilih Lagu Kegemaran

Bukan sekadar persembahan biasa, konsert kelolaan Hitman Solutions bersama Rockqueen ini turut membawakan konsep unik yang dipanggil Audience Choice. Melalui konsep ini, peminat sendiri boleh mengundi tema persembahan, memilih senarai lagu yang ingin didengari, serta menentukan beberapa kejutan lain pada malam tersebut.

Kejayaan siri konsert ini sebelum ini bukan kepalang apabila berjaya mengumpulkan lebih 70,000 penonton. Rekod itu dicapai menerusi kehadiran luar biasa 55,000 penonton di TM Stadium Nasional Bukit Jalil, disusuli 5,000 peminat di Singapura dan 10,000 lagi di Pulau Pinang.

Selain meraikan muzik rock tanah air, siri jelajah ini turut membawa mesej keamanan dan kasih sayang menerusi sumbangan kebajikan. Bagi peminat yang tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan malam bersejarah ini, tiket mula dijual pada 22 Oktober dengan harga bermula RM179 menerusi laman web rasmi penganjur.

Sumber: ohmymedia.cc

Iklan

Baca juga

Iklan