Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

Dituduh Guna 'Kabel' PM & Dana Kementerian, Adly Zahari Tampil Pertahan Calon Muda

Adly Zahari pertahan calon muda DUN Kuala Linggi, Mukhlis Mubin susulan tohmahan guna 'kabel' orang kuat kerajaan dan dana kementerian.

Bila nama anak muda mula menjejakkan kaki ke pentas politik, memang macam-macam cabaran dan ujian yang datang menyapa. Terbaru, calon muda Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, Mohammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah, menjadi sasaran tohmahan di media sosial.

Pemuda berusia 25 tahun itu didakwa menggunakan 'kabel' Perdana Menteri selain dituduh menyalahgunakan dana Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM). Isu ini mula bertiup kencang sehingga menarik perhatian ramai pihak yang tertanya-tanya sejauh mana kebenaran dakwaan tersebut.

Iklan

Bukan Isu Kabel, Tapi Jaringan Bantu Rakyat

Melihat situasi yang semakin panas, Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari segera tampil menjernihkan keadaan dan mempertahankan calon mudanya itu. Menurut Adly, Mukhlis Mubin sebenarnya sudah lama bergiat aktif dalam kerja sukarelawan sebelum ini demi membantu masyarakat setempat.

Justeru, Adly menegaskan tidak timbul sebarang kesalahan apabila calon berkenaan mengambil inisiatif mendapatkan kerjasama daripada agensi berkaitan bagi menyalurkan bantuan kepada komuniti yang memerlukan.

Menjawab dakwaan mengenai hubungan calon itu dengan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Muhammad Kamil Abdul Munim, beliau menjelaskan ia sekadar hubungan persahabatan biasa atas dasar rakan separti, bukannya kabel politik luar biasa seperti yang digembar-gemburkan.

Iklan

Tambah Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan, mana-mana wakil rakyat memang memerlukan jaringan hubungan atau network yang luas. Perkara ini penting, terutamanya bagi wakil rakyat dalam kerajaan, supaya masalah rakyat di peringkat akar umbi dapat diselesaikan dengan segera dan berkesan.

Tepis Tanggapan Generasi Strawberi

Isu ini secara tidak langsung membuka topik perbualan tentang kemampuan Generasi Z yang sering dipandang serong dan dilabel sebagai generasi 'strawberi' kononnya mudah koyak dan rapuh berdepan tekanan.

Namun, Adly menolak persepsi negatif berkenaan. Bagi beliau, label itu langsung tidak adil untuk dijadikan ukuran kemampuan anak muda dalam arena politik tanah air.

Iklan

Beliau memberikan contoh Mukhlis Mubin serta seorang lagi calon muda di DUN Klebang, Farzana Hayani Mohd Nasir, 26 tahun. Kedua-dua mereka merupakan barisan pelapis berpendidikan yang berupaya menyerap tekanan serta kritikan berterusan di media sosial tanpa mudah melatah.

Nasihat Matang Buat Calon Muda

Di sebalik sokongan penuh yang diberikan, Adly tetap menitipkan pesan agar anak-anak muda ini sentiasa berpijak di bumi nyata. Beliau menasihati mereka supaya sentiasa bersedia menerima teguran serta berhati-hati memahami risiko dalam setiap langkah yang diambil.

Bagi beliau, soal menang atau kalah dalam gelanggang pilihan raya adalah urusan nombor dua. Perkara paling berharga adalah aspirasi dan kesungguhan anak muda ini untuk menawarkan diri berkhidmat kepada masyarakat pada usia yang masih muda.

Sumber: ohmymedia.cc

Iklan

Baca juga

Iklan