Siakap KeliLive · Auto-update
Sukan

Bukan Sekadar Trofi, JDT Dedah Kisah Tekanan & Rahsia Bilik Persalinan Menerusi UNTAMED

JDT melancarkan dokumentari eksklusif UNTAMED dan platform penstriman JDT+, mendedahkan cabaran dan rahsia di sebalik dominasi 35 trofi kelab gergasi tersebut.

Bukan Sekadar Trofi, JDT Dedah Kisah Tekanan & Rahsia Bilik Persalinan Menerusi UNTAMED
Gambar: gempak

Kalau sebut pasal Johor Darul Ta'zim (JDT), rata-rata peminat bola sepak tempatan sudah maklum tentang kehebatan dominasi mereka. Mengumpul 35 trofi sepanjang tempoh 13 tahun bukanlah satu rekod biasa, apatah lagi kini gah berada di ranking nombor satu Asia Tenggara dan tangga ke-10 di seluruh Asia.

Namun, di sebalik deretan piala yang tersusun rapi di almari kejayaan, ramai sebenarnya tertanya-tanya apakah perkara sebenar yang berlaku di balik tabir kelab gergasi ini. Segala tanda tanya itu kini mula terjawab menerusi sebuah filem dokumentari istimewa berjudul UNTAMED.

Iklan

Bongkar Rahsia Bilik Persalinan Dan Tekanan Juara

Berdurasi selama 76 minit, naskhah ini membawa penonton melangkah masuk ke dunia Harimau Selatan yang selama ini tersimpan kemas daripada tatapan umum. Bukan sekadar tayangan aksi menarik, penonton dibawa melihat sendiri ketegangan di dalam bilik persalinan, suasana padang latihan, sehinggalah cabaran emosi, kontroversi serta tekanan mental yang membentuk identiti juara mereka.

Paling mencuri tumpuan sudah pasti perkongsian daripada Pemangku Sultan Johor merangkap pemilik JDT, Tunku Mahkota Ismail (TMJ). Baginda tampil membuka cerita mengenai visi, aspirasi dan keputusan-keputusan besar yang diambil demi meletakkan standard kelab pada tahap yang belum pernah dicapai oleh pasukan lain di Malaysia.

Selain TMJ, dokumentari ini turut memuatkan luahan pemain utama seperti Arif Aiman, Bergson da Silva, Matt Davies dan Corbin Ong. Malah, bekas bintang seperti Safiq Rahim, Safee Sali, bekas jurulatih Bojan Hodak serta barisan pengurusan kanan kelab turut tampil berkongsi detik getir sepanjang pembinaan empayar tersebut.

Iklan

Bagi memberikan pandangan yang lebih menyeluruh dari luar padang, beberapa personaliti popular seperti bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, penyanyi rap Joe Flizzow serta wartawan sukan Keesh turut dijemput memberikan perspektif tersendiri.

JDT+ Jadi Hab Penstriman Macam Netflix

Langkah JDT tidak terhenti setakat pembikinan dokumentari sahaja. Kelab elit ini turut memperkenalkan JDT+, iaitu sebuah platform penstriman eksklusif milik mereka sendiri yang bertindak sebagai hab tontonan kandungan premium.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis Garcia, sesebuah kelab moden hari ini tidak boleh hanya diukur melalui keputusan 90 minit perlawanan semata-mata. Sebaliknya, pembinaan struktur organisasi profesional dan jenama sukan yang mampan di luar padang adalah kunci utama untuk kekal konsisten pada standard tertinggi.

Iklan

Sebagai permulaan, UNTAMED menjadi sajian pembuka bagi platform berkenaan sebelum disusuli siri dokumentari berikutnya bertajuk OUTBOUND yang merakamkan suka duka perjuangan JDT dalam kempen AFC Champions League Elite. Para penyokong boleh menikmati segala kandungan eksklusif ini menerusi langganan Season Pass berharga RM69 bagi musim 2026/27.

Sumber: gempak

Iklan

Baca juga

Iklan