Siakap KeliLive · Auto-update
Artis

Dituduh 'Cuci Duit' Buka Bisnes di Langkawi, Black Hanifah Buka Mulut

Black Hanifah menafikan dakwaan guna sumber meragukan untuk bina bisnes di Langkawi dan tegaskan karier nyanyiannya masih ligat berjalan.

Dituduh 'Cuci Duit' Buka Bisnes di Langkawi, Black Hanifah Buka Mulut
Gambar: gempak

Bagi sesiapa yang mengikuti perkembangan Black Hanifah, pasti tahu penyanyi bersuara lantang ini semakin rancak melebarkan sayap dalam dunia perniagaan di Pulau Langkawi, Kedah. Sejak empat tahun lalu, dia berjaya mengusahakan beberapa cabang bisnes termasuk perkhidmatan villa percutian, kapal layar mewah dan juga sebuah kafe santai.

Namun, di sebalik kejayaan itu, ada pula segelintir pihak yang mula memandang serong. Timbul spekulasi liar kononnya pemilik nama sebenar Hanifah Muhammad Hanafiah ini menggunakan wang daripada sumber meragukan atau 'mencuci duit' untuk membiayai segala aset berkenaan.

Iklan

Modal 100 Peratus Hasil Menyanyi

Tidak mahu perkara ini terus berlarutan, pelantun lagu Terlerai Sudah ini tampil memberi penjelasan tegas. Dia menegaskan bahawa setiap sen modal yang digunakan untuk membina perniagaannya di Langkawi datang daripada hasil titik peluhnya sendiri sebagai anak seni sejak tahun 2009.

Menurutnya, tidak timbul isu dia tiba-tiba kaya atau sekelip mata memiliki pelbagai perniagaan. Bidang nyanyian tetap menjadi sumber pendapatan utamanya sehingga ke hari ini tanpa henti.

Mungkin ada yang beranggapan dia sudah kurang aktif kerana jarang kelihatan di kaca televisyen. Hakikatnya, Black berkongsi bahawa dia menerima banyak jemputan persembahan untuk majlis tertutup atau korporat yang kebiasaannya tidak disiarkan kepada tatapan umum.

Iklan

Nafi Mahu Perlahankan Karier Seni

Selain tuduhan mengenai sumber modal, ada juga cakap-cakap mendakwa juara program realiti ini mahu memperlahankan karier muziknya demi memberikan tumpuan penuh pada perniagaan di pulau bebas cukai itu. Tanggapan tersebut terus ditepis Black yang memaklumkan jadual nyanyiannya sebenarnya sudah penuh sehingga penghujung tahun ini.

Setiap minggu, dia masih menerima panggilan untuk membuat persembahan di pelbagai lokasi. Baginya, jika benar dia mahu berehat atau undur diri, dia tidak akan melancarkan karya muzik baharu buat peminat tempatan.

Aktif Kongsi Bisnes di Media Sosial

Menjelaskan punca salah faham itu berlaku, Black percaya ia mungkin disebabkan aktivitinya di media sosial. Sejak kebelakangan ini, dia memang lebih banyak berkongsi tentang hal perniagaan serta komitmen sebagai duta produk berbanding aktiviti nyanyian harian.

Iklan

Perkongsian tersebut mungkin membuatkan orang ramai terlepas pandang bahawa dia masih ligat beraksi di pentas. Apa pun, usaha Black mempelbagaikan punca pendapatan wajar dipuji, sekali gus membuktikan hasil penat lelah bergelar artis mampu membina masa depan yang kukuh jika diuruskan dengan betul.

Sumber: gempak

Iklan

Baca juga

Iklan