Siakap KeliLive · Auto-update
Hiburan

Dituduh Ada Hubungan Dengan VIP, Ruhainies Tuntut Ganti Rugi RM3 Juta Setiap Seorang

Ruhainies ambil tindakan undang-undang terhadap penyebar fitnah yang mengaitkannya dengan seorang VIP, tuntut ganti rugi RM3 juta jika ingkar notis.

Dituduh Ada Hubungan Dengan VIP, Ruhainies Tuntut Ganti Rugi RM3 Juta Setiap Seorang
Gambar: ohmymedia.cc

Nampaknya kesabaran pelakon Ruhainies ada hadnya. Tuduhan liar yang mengaitkan dirinya mempunyai hubungan sulit dengan seorang individu kenamaan atau VIP nampaknya telah melampaui batas sehingga memaksa pelakon itu mengambil tindakan undang-undang yang cukup tegas.

Bukan sekadar amaran kosong di media sosial, Ruhainies menerusi barisan peguamnya dilaporkan bakal menuntut ganti rugi mencecah RM3 juta daripada setiap individu yang dikenal pasti menyebarkan fitnah berkenaan sekiranya tuntutan awal mereka tidak diendahkan.

Iklan

Tiga Individu Sudah Dikenal Pasti

Peguam yang mewakilinya, Mohd Haizal Ayop daripada firma guaman EzriLaw, mengesahkan bahawa satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Dang Wangi pada Ahad lalu bagi membolehkan pihak berkuasa memulakan siasatan terperinci.

Setakat ini, pihak peguam sudah mengenal pasti tiga individu dan butiran mereka telah diserahkan kepada pihak polis. Difahamkan, ada beberapa lagi individu lain yang masih dalam proses dikenal pasti dan bakal berdepan tindakan sama.

Beri Tempoh 7 Hari Mohon Maaf Terbuka

Pihak peguam menjelaskan bahawa mereka akan mengeluarkan Notis Tuntutan (LOD) kepada individu terbabit. Mereka diberi tempoh selama tujuh hari untuk mematuhi beberapa arahan penting yang ditetapkan.

Iklan

Antara tuntutan yang dikenakan termasuklah mengakui perbuatan mereka, memadam hantaran berunsur fitnah tersebut, berjanji tidak akan mengulangi tuduhan sama, dan membuat permohonan maaf secara terbuka tanpa sebarang syarat.

Dituduh Ada Hubungan Dengan VIP, Ruhainies Tuntut Ganti Rugi RM3 Juta Setiap Seorang

Jika mereka gagal berbuat demikian dalam tempoh yang diberikan, tindakan saman sivil akan difailkan serta-merta di mahkamah. Tuntutan RM3 juta bagi setiap seorang itu melibatkan ganti rugi am, ganti rugi teladan dan juga permohonan perintah injunksi.

Hantaran Di Threads Raih 2.7 Juta Tontonan

Isu ini menjadi parah apabila tuduhan yang dilemparkan di aplikasi Threads itu merebak pantas. Seorang lagi peguam Ruhainies, Fakhrul Azman daripada firma Azainie & Fakhrul, mendedahkan bahawa hantaran berkenaan telah mencatatkan lebih 2.7 juta tontonan, 209 perkongsian semula dan 1,400 perkongsian.

Iklan

Penyebaran fitnah tersebut disifatkan memberi impak buruk kepada nama baik, kerjaya seni serta keluarga pelakon berkenaan. Kes ini kini disiasat pihak polis mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Sudah Penat Nafi, Biar Mahkamah Tentukan

Menurut Ruhainies sendiri, sebelum ini dia sudah berkali-kali tampil memberikan penafian menerusi media. Namun, penjelasannya itu seolah-olah tidak dipedulikan oleh sesetengah pihak yang masih ghairah menyebarkan cerita tidak benar.

Justeru, dia merasakan undang-undang adalah jalan terbaik untuk membersihkan namanya. Langkah ini diambil bukan sekadar mempertahankan reputasi diri, tetapi juga memberi peringatan jelas bahawa jari yang laju menaip fitnah di media sosial boleh membawa padah yang sangat besar.

Sumber: ohmymedia.cc

Iklan

Baca juga

Iklan