Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

Diskaun Dari RM4.67 Juta Jadi RM1,000, Hannah Yeoh Tampil Jelas Isu KLSCAH

Pengurangan premium tanah KLSCAH daripada RM4.67 juta kepada RM1,000 cetus tanda tanya, ini penjelasan penuh Hannah Yeoh mengenai status bangunan warisan itu.

Diskaun Dari RM4.67 Juta Jadi RM1,000, Hannah Yeoh Tampil Jelas Isu KLSCAH
Gambar: ohmymedia.cc

Isu pengurangan premium tanah sebuah bangunan bersejarah di ibu negara baru-baru ini mencuri perhatian ramai. Mana tidaknya, angka asal yang dianggarkan mencecah jutaan ringgit tiba-tiba dikurangkan secara drastik kepada hanya seribu ringgit sahaja.

Menjawab segala persoalan yang berlegar, Hannah Yeoh tampil memberikan pencerahan mengenai keputusan kerajaan meluluskan pengurangan premium tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) daripada RM4.67 juta kepada RM1,000.

Iklan

Bukan Tanah Komersial, Berstatus Bangunan Warisan

Menurut beliau, keputusan itu dibuat bukan sesuka hati. Sebaliknya, jawatankuasa penilaian mengambil kira kedudukan hartanah tersebut yang sudah diwartakan sebagai bangunan warisan negara sejak awal tahun 2007 lagi.

Apabila sesebuah lokasi telah diisytiharkan sebagai tapak warisan, tanah tersebut secara automatiknya tidak lagi mempunyai nilai komersial bebas. Pemilik tidak mempunyai hak untuk meruntuhkan struktur sedia ada bagi membina projek mega yang menguntungkan.

Kawasan itu sama sekali tidak boleh dibangunkan untuk sebarang aktiviti komersial seperti kondominium mewah mahupun pusat beli-belah. Penggunaannya terhad dan terikat sepenuhnya untuk tujuan institusi dan pemeliharaan warisan sahaja.

Iklan

Rayuan Pertubuhan Bukan Berasaskan Keuntungan

Difahamkan, ketika pihak pengurusan mengemukakan permohonan pembaharuan kepada kerajaan, tempoh pajakan tanah berkenaan sebenarnya masih berbaki lapan tahun. Memandangkan KLSCAH beroperasi sebagai pertubuhan bukan berasaskan keuntungan dengan sejarah yang sangat panjang, mereka merayu agar kadar bayaran dapat diringankan.

Jawatankuasa penilaian akhirnya bersetuju memberikan kelulusan pembaharuan pajakan selama 99 tahun pada 14 November lalu dengan kadar premium nominal RM1,000 atas dasar sekatan kegunaan tanah tersebut.

Berapa Jumlah Sebenar Perlu Dibayar?

Walaupun premium ditetapkan pada kadar nominal seribu ringgit, jumlah keseluruhan yang perlu dilunaskan oleh pihak pengurusan bukanlah sekadar angka itu semata-mata.

Iklan
  • Bayaran permulaan: Sebanyak RM5,011 perlu dibayar merangkumi sewa tanah tahun pertama dan caj pentadbiran.
  • Kadar tahunan: Pihak KLSCAH dikenakan sewa tahunan yang ditetapkan sebanyak RM3,151.

Langkah ini diambil susulan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini menyatakan pertimbangan khas wajar diberikan bagi memastikan khazanah dan bangunan bersejarah negara terus terpelihara sebaik melawat lokasi tersebut pada Februari lalu.

Sumber: ohmymedia.cc

Iklan

Baca juga

Iklan