Siakap KeliLive · Auto-update
Hiburan

Akim Ahmad Sah Masuk GV Fantasia, Haqiem Rusli Terus 'Lock' Lagu Mahakarya Cinta

Kemasukan Akim Ahmad ke pentas GV Fantasia bikin peminat teruja, termasuk Haqiem Rusli yang terus membuat permintaan khas untuk persembahannya nanti.

Akim Ahmad Sah Masuk GV Fantasia, Haqiem Rusli Terus 'Lock' Lagu Mahakarya Cinta
Gambar: gempak

Pentas Gegar Vaganza Fantasia (GVF) semakin panas selepas empat nama alumni Akademi Fantasia diumumkan berjaya merebut kerusi panas pada konsert minggu kedua. Antara yang paling mencuri perhatian sudah tentulah penyanyi bervokal mantap, Akim Ahmad.

Kemasukan Akim bukan sahaja disambut sorakan peminat, malah rakan seperjuangan dalam industri muzik turut tumpang teruja. Salah seorangnya ialah penyanyi dan komposer, Haqiem Rusli, yang nampaknya ada permintaan istimewa buat vokalis kumpulan The Majistret itu.

Iklan

Haqiem Rusli Buka Mulut, Minta Lagu Faizal Tahir

Menerusi satu hantaran di aplikasi Threads, Haqiem meluahkan rasa tidak sabarnya untuk melihat Akim beraksi. Menariknya, Haqiem terus 'merequest' agar Akim membawakan lagu ikonik nyanyian Faizal Tahir, iaitu Mahakarya Cinta, secara penuh di atas pentas berprestij itu.

Haqiem berseloroh bahawa inilah peluang keemasan untuk semua orang mendengar Akim melantunkan lagu bernada tinggi tersebut secara langsung dan kemas. Permintaan spontan itu disambut meriah oleh warganet yang rata-ratanya bersetuju seratus peratus dengan cadangan Haqiem.

Penangan Nyanyian Singkat Di Big Stage

Kenapa ramai sangat yang terdesak mahu Akim menyanyikan lagu tersebut? Kalau anda masih ingat, sebelum ini video Akim menyanyikan sedikit bait lagu Mahakarya Cinta pernah tular teruk di media sosial.

Iklan

Momen itu berlaku ketika Akim menggalas tanggungjawab sebagai juri tetap dalam program realiti Big Stage Rocketfuel. Ketika itu, dia sekadar berniat memberi tunjuk ajar kepada seorang peserta bernama Hussain tentang cara penghayatan lagu yang betul.

Walaupun hanya menyanyi beberapa baris tanpa muzik iringan yang penuh, lontaran vokal dan emosi Akim meninggalkan kesan yang sangat mendalam kepada penonton. Ramai yang mengaku masih belum 'move on' dan berhajat mahu mendengar versi penuh daripada Akim sejak saat itu lagi.

Saingan Sengit Di Pentas GV Fantasia

Bukan Akim seorang saja yang melangkah masuk mengisi kekosongan, malah tiga lagi alumni berbakat besar turut diumumkan iaitu Farah (AF2), Felix (AF3) dan Ara Johari (AF2016). Kehadiran mereka berempat pastinya memberi saingan getir kepada barisan peserta lain yang kebanyakannya memegang gelaran juara.

Iklan

Antara nama besar yang sedia menanti di pentas musim ini termasuklah Mawi, Vince, Faizal, Shahir, Mila Jirin, Stacy, Zahid, Faizul Sany dan Firman Bansir.

GV Fantasia yang menampilkan trio pengacara Nabil Ahmad, Jihan Muse serta Sherry Alhadad dihangatkan lagi dengan barisan juri tetap berwibawa iaitu Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat. Rancangan yang bersiaran selama 11 minggu ini dipancarkan secara langsung setiap Ahad dari Auditorium MBSA Shah Alam menerusi saluran Astro Ria.

Sumber: gempak

Iklan

Baca juga

Iklan