Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

Denda RM50 Juta Dah Selesai, Nooryana Luah Rasa Kecewa Kepulangan Najib Tertangguh

Segala persiapan sudah dibuat untuk sambut kepulangan Najib Razak, namun Nooryana Najwa kecewa apabila urusan tahanan rumah bapanya sekali lagi ditangguhkan.

Denda RM50 Juta Dah Selesai, Nooryana Luah Rasa Kecewa Kepulangan Najib Tertangguh
Gambar: ohmymedia.cc

Hati anak mana yang tidak luluh apabila kepulangan bapa yang dinanti-nantikan sejak sekian lama tiba-tiba terbantut pada saat akhir. Perasaan itulah yang diluahkan oleh anak bekas Perdana Menteri, Nooryana Najwa, selepas pelaksanaan tahanan rumah untuk bapanya, Datuk Seri Najib Razak, ditangguhkan sementara oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).

Apa yang membuatkan keluarganya bertambah hiba adalah segala persiapan rapi di rumah sudah pun dibuat. Mereka menyangka hari tersebut bakal menjadi detik paling menggembirakan buat mereka sekeluarga selepas sekian lama terpisah.

Iklan

Sangka Bapa Boleh Pulang Selepas Denda Dibayar

Menurut Nooryana, keluarganya tidak henti-henti berhubung dengan pelbagai pihak sejak awal pagi demi memastikan seluruh proses berjalan lancar. Difahamkan, bayaran denda berjumlah RM50 juta telah diselesaikan kepada pihak mahkamah sekitar waktu tengah hari hasil sumbangan Tabung Solidariti Datuk Seri Najib yang digerakkan oleh UMNO.

Nooryana sendiri sempat meluangkan masa menunggu di mahkamah bagi mendapatkan perintah rasmi sebelum dokumen penting itu dibawa terus ke Penjara Kajang.

Berdasarkan pemahaman mereka terhadap perintah pengampunan bersyarat oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, penyelesaian denda berkenaan merupakan syarat utama bagi membolehkan Najib menghabiskan baki hukuman menerusi tahanan di rumah.

Iklan

Masa Pelepasan Beralih Sebelum Keputusan AGC Muncul

Keluarga pada mulanya dimaklumkan bahawa Najib akan dihantar pulang sekitar jam 5 petang sebaik sahaja pihak penjara menerima dokumen berkaitan. Namun begitu, waktu tersebut kemudiannya dianjakkan ke jam 8.30 malam.

Di sebalik perubahan waktu itu, timbul pula khabar angin pada sebelah petang bahawa pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) cuba menangguhkan pembebasan berkenaan. Walaupun begitu, keluarga masih menaruh harapan tinggi kerana yakin perintah mahkamah sedia ada sudah memadai mengikut prosedur.

Bagaimanapun, harapan mereka berkecai apabila AGC akhirnya mengeluarkan kenyataan rasmi untuk menangguhkan pelaksanaan proses terbabit secara sementara.

Iklan

Teringat Pengalaman Lalu, Harap Keadilan Ditegakkan

Situasi tidak menentu ini diakui Nooryana amat mirip dengan apa yang pernah mereka lalui sewaktu isu titah adendum sebelum ini. Rasa kecewa timbul apabila timbul halangan baharu setiap kali mereka merasakan bapa mereka sudah semakin hampir untuk melangkah ke pintu rumah.

Beliau turut mempersoalkan mengapa sebarang syarat tambahan tidak diberitahu lebih awal sebelum pembayaran puluhan juta ringgit itu disempurnakan. Baginya, apa yang dituntut oleh keluarga ketika ini hanyalah ketelusan, keadilan dan penghormatan terhadap titah yang telah diputuskan.

Sambil menzahirkan ucapan terima kasih kepada orang ramai yang sudi menyumbang, Nooryana menitipkan pesan sayu buat bapanya, menegaskan bahawa mereka sekeluarga tidak akan berputus asa dan akan terus berusaha sedaya upaya membawanya pulang ke pangkuan keluarga.

Sumber: ohmymedia.cc

Iklan

Baca juga

Iklan