Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

Dakwaan Keracunan Makanan Babit Produk Gardenia Tular, KKM Buka Siasatan

Kecoh di media sosial dakwaan keracunan makanan babit produk Gardenia. KKM kini jalankan siasatan lanjut dan tunggu keputusan makmal.

Dakwaan Keracunan Makanan Babit Produk Gardenia Tular, KKM Buka Siasatan
Gambar: ohmymedia.cc

Kalau sebut pasal roti, jenama Gardenia memang sudah sebati dengan dapur rakyat Malaysia. Pagi-pagi sarapan sapu jem, petang pula alas perut dengan variasi snek mereka. Sebab itulah bila timbul isu yang mendakwa produk ini menjadi punca keracunan makanan, ramai yang mula rasa risau.

Baru-baru ini, tular di media sosial luahan pengguna mengenai masalah kesihatan yang dialami selepas memakan produk jenama berkenaan. Susulan aduan tersebut, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menunggu lama dan terus membuka siasatan rasmi bagi merungkai apa sebenarnya yang berlaku.

Iklan

Dua Produk Terkenal Dikatakan Terlibat

Menurut maklum balas pihak kementerian, dakwaan yang tersebar di laman sosial itu membabitkan dua jenis produk yang cukup popular di pasaran. Produk tersebut adalah Gardenia Original Classic White Bread dan juga Twiggies Choc-A-Lot.

Siasatan awal telah digerakkan mengikut lunas Akta Makanan 1983. Langkah ini diambil bukan sahaja untuk menyiasat punca sebenar gejala yang dialami pengadu, malah untuk memastikan keselamatan bekalan makanan di pasaran kekal terjamin untuk kita semua.

Apa Kata Pihak Gardenia?

Pihak kementerian sendiri sudah meminta penjelasan terus daripada pengeluar iaitu Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd. Hasil semakan dalaman yang dilakukan oleh syarikat mendapati tiada sebarang kejanggalan dalam operasi kilang mereka.

Iklan
May be an illustration of text

Setakat pemeriksaan mereka, tiada resipi yang diubah, tiada penyimpangan dalam proses pengeluaran, dan semua prosedur operasi standard (SOP) keselamatan makanan dipatuhi dengan baik. Namun, proses menjejaki produk berkenaan menghadapi sedikit kekangan kerana maklumat tentang nombor kelompok (batch) dan tarikh luput produk yang diadu tidak lengkap.

Sampel Sudah Dihantar Ke Makmal

Walaupun syarikat sudah membuat siasatan dalaman, KKM menegaskan bahawa dapatan itu belum cukup untuk dijadikan kesimpulan akhir. Pihak kementerian perlu mendapatkan bukti saintifik sebelum mengesahkan apa-apa punca.

Dengan izin pihak pengadu, baki roti serta bungkusan yang terlibat sudah pun diambil untuk dihantar ke makmal. Selain menanti keputusan ujian analisis tersebut, pegawai kesihatan juga akan turun padang membuat pemeriksaan susulan di premis kilang bagi memastikan pematuhan undang-undang sepenuhnya.

Iklan

Jangan Buat Andaian Melulu

Sekiranya ujian makmal mendapati ada pelanggaran undang-undang atau risiko keselamatan, tindakan penguatkuasaan tegas akan diambil serta-merta tanpa kompromi. Tetapi buat masa ini, proses siasatan masih berjalan rapi.

Orang ramai dinasihatkan agar bertenang dan tidak menyebarkan spekulasi yang belum sahih di media sosial. Bagi sesiapa yang mengalami gejala seperti cirit-birit, muntah atau sakit perut selepas menjamah makanan yang meragukan, segeralah dapatkan rawatan doktor dan buat laporan di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berdekatan.

Sumber: ohmymedia.cc

Iklan

Baca juga

Iklan