Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

Bukan Bersantai Dengan Keluarga, Najib Razak Jalani Tahanan Rumah Sendirian

Najib Razak jalani tahanan rumah di Taman Duta sendirian tanpa isteri dan anak-anak kerana kediaman tersebut telah diwartakan sebagai penjara.

Bukan Bersantai Dengan Keluarga, Najib Razak Jalani Tahanan Rumah Sendirian
Gambar: OH! Media

Isu pelaksanaan tahanan rumah melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terus menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan masyarakat. Ramai yang tertanya-tanya bagaimana rutin harian beliau dan adakah beliau ditemani ahli keluarga sepanjang tempoh tersebut.

Hakikatnya, keadaan sebenar jauh berbeza daripada apa yang disangka sesetengah pihak. Persoalan ini akhirnya terjawab selepas EXCO Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid tampil memberikan penjelasan di ruangan komen media sosial Threads baru-baru ini.

Iklan

Taman Duta Berstatus Penjara, Tiada Istilah Tinggal Bersama

Menurut Nurulhidayah, Najib akan menjalani tahanan rumah seorang diri tanpa ditemani isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor mahupun anak-anak mereka. Kediaman di Taman Duta itu kini sudah diwartakan secara rasmi sebagai sebuah penjara, sekali gus tertakluk kepada undang-undang kepenjaraan yang ketat.

ohmedia featured najib razak rosmah mansor 2

Disebabkan konsep penjara tidak membenarkan ahli keluarga menetap bersama banduan, Rosmah dipercayai akan tinggal di kediaman peribadinya yang terletak di Pavilion sepanjang tempoh suaminya menjalani hukuman tersebut.

Tiada Pesanan Makanan Dalam Talian

Selain tidak boleh ditemani keluarga, rutin harian Najib juga terikat sepenuhnya dengan arahan pihak berkuasa. Beliau sama sekali tidak dibenarkan keluar dari bangunan kediaman tersebut.

Iklan
ohmedia ohmedia featured najib razak

Malah, bagi mereka yang menyangka beliau bebas memesan makanan kegemaran secara dalam talian, Nurulhidayah menegaskan perkara itu sama sekali tidak dibenarkan. Segala urusan penyediaan makanan dan minuman harian akan ditentukan serta diuruskan sepenuhnya oleh pihak Jabatan Penjara Malaysia.

Waktu Melawat Ikut Prosedur Ketat

Bagi urusan melawat pula, pelawat tidak boleh hadir sesuka hati seperti bertandang ke rumah biasa. Segala sesi perjumpaan tertakluk kepada waktu lawatan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Perkara ini turut disahkan oleh peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang memaklumkan bahawa mana-mana individu yang ingin bertemu anak guamnya perlu mendapatkan kelulusan rasmi daripada Jabatan Penjara Malaysia terlebih dahulu.

Iklan
ohmedia ohmedia featured najib razak 4

Baki Hukuman Sehingga Ogos 2028

Untuk rekod, Najib bakal menghabiskan baki hukuman bagi kes penyelewengan dana SRC International di kediaman Taman Duta sehingga 23 Ogos 2028. Ketetapan tersebut dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Aslam Zainuddin selaras dengan Perintah Pengampunan Bersyarat.

Penjelasan ini secara tidak langsung membuka mata ramai bahawa istilah tahanan rumah bukanlah tiket untuk hidup bebas atau bersenang-lenang. Apabila sesebuah rumah diisytiharkan sebagai penjara, segala hak kebebasan bergerak dan kemudahan harian akan ditarik mengikut lunas undang-undang sedia ada.

Sumber: OH! Media

Iklan

Baca juga

Iklan