Siakap KeliLive · Auto-update
Gaya Hidup

Berapa Banyak Duit Kena Ada? Ini Cara Kira Dana Kecemasan Ikut Gaji

Ramai keliru berapa sebenarnya jumlah simpanan kecemasan yang patut ada. Ketahui formula mudah kira dana perlindungan ikut komitmen dan status kerja anda.

Berapa Banyak Duit Kena Ada? Ini Cara Kira Dana Kecemasan Ikut Gaji
Gambar: OH! Media

Bila tayar kereta tiba-tiba meletup atas jalan atau ahli keluarga jatuh sakit, waktu itulah baru kita tersedar pentingnya ada duit lebih. Kalau masa itu akaun bank cuma ada baki cukup-cukup makan, memang boleh buat sesiapa pun hilang punca.

Inilah sebabnya dana kecemasan itu sangat penting. Duit ini berfungsi sebagai 'talian hayat' supaya kita tak perlu meminjam daripada kawan atau terpaksa berhutang kad kredit bila perkara di luar jangkaan berlaku. Tapi persoalannya, berapa banyak yang sebenarnya cukup?

Iklan

Berapa Bulan Perbelanjaan Patut Disimpan?

Secara asasnya, garis panduan yang paling selamat ialah menyimpan antara 3 hingga 6 bulan perbelanjaan asas. Ingat ya, perbelanjaan asas ini bukan gaya hidup mewah, tetapi kos wajib seperti sewa rumah, bil utiliti, barangan dapur, ansuran kenderaan dan insurans.

Jumlah sasaran ini sebenarnya berbeza mengikut status kerja dan tanggungan masing-masing:

  • Kerja tetap dan tiada tanggungan: Sekurang-kurangnya 3 bulan perbelanjaan asas.
  • Kerja tetap tetapi ada tanggungan: Sekitar 6 bulan perbelanjaan asas.
  • Pekerja kontrak atau 'freelance': Antara 6 hingga 9 bulan perbelanjaan asas.
  • Bekerja sendiri atau berniaga: Sebaiknya 9 hingga 12 bulan perbelanjaan kerana pendapatan bulanan tidak menentu.

Cara Mudah Kira Sasaran Sendiri

Katakan komitmen bulanan wajib anda ialah RM3,000 sebulan. Jika anda perlukan perlindungan untuk 3 bulan, sasaran yang perlu ada di dalam akaun ialah RM9,000. Kalau 6 bulan, jumlahnya mencecah RM18,000.

Iklan

Bila nampak angka berbelas ribu ringgit, mungkin ada yang rasa mustahil nak capai. Rahsianya, jangan bebankan diri untuk kumpul sekaligus. Mulakan dengan sasaran kecil seperti cukupkan perbelanjaan untuk sebulan dahulu.

Contohnya, jika anda mampu simpan RM500 sebulan secara konsisten, sasaran RM9,000 boleh dicapai dalam masa 18 bulan. Kalau ada rezeki lebih seperti bonus tahunan atau bayaran balik cukai, masukkan terus ke dalam tabung ini untuk pendekkan masa.

Tempat Paling Sesuai Simpan Duit Ini

Pilihan paling praktikal ialah simpan di akaun simpanan bank berasingan yang dilindungi PIDM dan mudah dikeluarkan bila-bila masa. Tujuannya bukan untuk kejar keuntungan atau faedah tinggi, tetapi memastikan wang itu selamat dan mudah dicapai sewaktu terdesak.

Iklan

Elakkan simpan dalam instrumen pelaburan berisiko tinggi seperti saham atau mata wang kripto kerana nilainya boleh jatuh mendadak. Simpanan seperti ASB pula stabil, namun proses pengeluarannya mungkin mengambil masa jika anda memerlukan wang tunai dengan serta-merta.

Tiga Kesilapan Yang Kerap Dibuat

Pertama, jangan sesekali campurkan akaun dana kecemasan dengan akaun belanja harian. Bila bercampur, godaan untuk guna wang tersebut bagi tujuan membeli-belah atau makan sedap sangat tinggi.

Kedua, ramai yang menangguh menyimpan sebab rasa gaji terlalu kecil. Sebenarnya simpanan serendah RM50 sebulan pun sudah memadai daripada tiada langsung. Sekurang-kurangnya anda tidak panik jika bateri kereta kong atau perlu ke klinik.

Iklan

Ketiga, jangan lupa semak semula jumlah dana anda bila fasa hidup berubah. Bila anda baru menimang cahaya mata, bertukar kerja atau sewa rumah dinaikkan, jumlah perbelanjaan asas sudah tentu meningkat dan sasaran simpanan pun perlu dilaraskan semula.

Sumber: OH! Media

Iklan

Baca juga

Iklan