Baru Beli Rumah Subsale Tapi Kena Notis Sita? Ini Puncanya
Ingatkan lepas dapat kunci semuanya selesai, rupa-rupanya ada tunggakan hampir dua tahun sampai kena notis sita. Ini peringatan penting untuk pembeli rumah subsale.

Bayangkan keterujaan bila baru saja dapat kunci rumah sendiri, tiba-tiba dikejutkan dengan kehadiran notis sita daripada pihak berkuasa. Situasi mencemaskan ini benar-benar berlaku kepada seorang pemilik kediaman yang tidak menyangka hartanah yang baru dibelinya berdepan tindakan undang-undang.
Perkongsian daripada firma guaman Jamalaiyah Hidayah & Co. mendedahkan bagaimana seorang pembeli rumah panik apabila menerima notis sita daripada pihak majlis perbandaran, di samping surat amaran daripada pihak pengurusan kediaman.
Rupa-Rupanya Ada Tunggakan Hampir Dua Tahun
Selepas semakan dibuat bersama pihak guaman, rupa-rupanya terdapat tunggakan bayaran yang terkumpul hampir dua tahun. Kediaman tersebut dibeli secara subsale atau rumah terpakai daripada pemilik terdahulu.
Sebenarnya, pemilik lama sudah pun melunaskan semua bil berkaitan secara prorata sehingga tarikh serah kunci dilakukan. Namun, masalah timbul apabila bil selepas tarikh penyerahan tersebut menjadi tanggungjawab pemilik baharu sepenuhnya.
Pemilik tersebut mendakwa dia langsung tidak mengetahui kewajipan berkenaan, apatah lagi tiada sebarang bil fizikal yang sampai terus ke peti surat rumahnya.
Perangkap Tahun Kedua Pembeli Rumah Baharu
Menurut pihak firma guaman, insiden sebegini sebenarnya kerap menimpa pembeli rumah pertama, terutamanya bagi hartanah subsale. Pada tahun pertama pemilikan, semuanya biasanya berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.
Ini kerana pihak peguam hartanah telah membantu mengira dan memastikan tiada tunggakan bermula dari tarikh kunci diserahkan. Bahaya sebenar selalunya bermula apabila melangkah ke tahun kedua.
Menjelang pertengahan tahun kedua, saman atau notis tunggakan mula tiba. Ramai pembeli memberikan alasan bahawa surat bil tidak pernah sampai ke rumah, membuatkan mereka menyangka tiada apa-apa bayaran yang perlu diselesaikan.
Jadual Bayaran Yang Pemilik Rumah Wajib Tahu
Bagi mengelakkan pintu rumah anda ditampal notis amaran atau disita, firma guaman tersebut berkongsi jadual bayaran berkala yang wajib dihadam oleh setiap pemilik hartanah:
- Cukai Tanah: Bayaran dilakukan setahun sekali dan perlu diselesaikan sebelum bulan Februari setiap tahun.
- Cukai Pintu (Taksiran): Dikenakan dua kali setahun. Penggal pertama perlu dibayar sebelum akhir Februari, manakala penggal kedua sebelum akhir Ogos.
- Indah Water (IWK): Bil pembetungan ini dikeluarkan dua kali setahun, iaitu setiap enam bulan.
Langkah Penting Selepas Dapat Kunci
Sebagai pemilik baharu, jangan sesekali menganggap tiada bil kertas bermakna tiada bayaran yang perlu dibuat. Sikap pasif menunggu surat sampai ke peti rumah boleh memakan diri sendiri satu hari nanti.
Langkah terbaik adalah membuat semakan baki sendiri secara berkala di portal pihak berkuasa tempatan atau hadir terus ke kaunter. Paling penting, pastikan maklumat pemilik dan alamat surat-menyurat rasmi telah dikemas kini atas nama anda sebaik sahaja proses pembelian selesai.
Sumber: OH! Media
Baca juga

Konvoi JAECOO J5 EV Gegar 3 Negeri, Siap Ada 'Plug' Gergasi Atas Bumbung!
OMODA & JAECOO Malaysia bawa jelajah JAECOO J5 EV Takeover ke Lembah Klang, Perak dan Pulau Pinang dengan pelbagai aktiviti santai, Coffee Rave dan pandu uji.

Tak Perlu Tunggu Kaya, Ini Cara Mudah Amalkan Sedekah Harian
Ramai sangka sedekah kena tunggu duit berkepuk. Hakikatnya, amalan kecil yang dibuat secara konsisten jauh lebih bermakna dan tak terhad kepada wang semata-mata.

Ingat Halal Mesti Untung? Fahami Dulu Asas Pelaburan Patuh Syariah
Ramai sangka pelaburan patuh syariah gerenti buat duit. Hakikatnya status halal bukan jaminan untung, risiko rugi tetap ada jika tersilap langkah.