Bantu Rider Merlimau, Dr Akmal Tawar Subsidi Servis Motosikal Dan PERKESO
Calon BN DUN Merlimau, Dr Akmal Saleh tampil umum inisiatif subsidi 50 peratus servis motosikal dan caruman PERKESO khas untuk rider p-hailing kawasan itu.

Tugas sebagai penghantar makanan atau barangan memang nampak mudah pada mata sesetengah pihak, tapi hakikatnya kudrat yang mereka curahkan setiap hari bukanlah sedikit. Berhujan dan berpanas di atas jalan raya, mereka berdepan pelbagai risiko demi memastikan pesanan sampai ke pintu rumah pelanggan tepat pada masanya.
Menyedari kepayahan yang dihadapi oleh golongan penunggang p-hailing ini, calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, tampil membawa berita gembira. Beliau mengumumkan dua inisiatif khusus bagi meringankan beban kewangan mereka sekiranya berjaya mempertahankan kerusi tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Subsidi Servis Motosikal Dinaikkan Ke 50 Peratus
Antara perkara paling utama yang menjadi kegusaran para rider adalah kos menyelenggara kenderaan. Mana tidaknya, motosikal itulah periuk nasi mereka yang digunakan dari pagi sampai ke malam, jadi kekerapan untuk servis memang sangat tinggi.
Bagi membantu menangani kos ini, Dr Akmal menawarkan tambahan subsidi servis motosikal sebanyak 20 peratus. Kenaikan ini menjadikan jumlah keseluruhan subsidi yang bakal dinikmati penunggang meningkat kepada 50 peratus.
Bukan itu sahaja, beliau turut mengumumkan subsidi separuh bagi caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Bantuan perlindungan ini sangat penting memandangkan pekerjaan mereka sentiasa terdedah kepada bahaya kemalangan di jalan raya.
Anggap Rider Sebagai 'Unsung Hero'
Menurut Dr Akmal, inisiatif berkenaan dirangka selepas mengambil kira realiti sebenar kehidupan pekerja penghantaran yang perlu menanggung kos penyelenggaraan dan perlindungan keselamatan sendiri, meskipun pendapatan mereka ada pasang surutnya.
Beliau menyifatkan golongan ini sebagai wira yang tidak didendangkan kerana tanpa khidmat mereka, ramai orang mungkin berdepan kesukaran untuk mendapatkan makanan harian. Katanya, bayaran caruman keselamatan boleh mencecah lebih RM200 dan jumlah itu sudah tentu agak membebankan bagi mereka yang berpendapatan tidak menentu.
Justeru, beliau mahu memastikan bantuan yang dihulurkan benar-benar menyeluruh dan bukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Dr Akmal menegaskan bahawa jika mahu membantu, biarlah ia dilakukan bersungguh-sungguh supaya kebajikan penunggang terus terbela.
Syarat Kelayakan Yang Ditetapkan
Bagi mereka yang tertanya-tanya siapa yang layak menerima manfaat ini, tawaran tersebut dikhususkan mengikut beberapa kriteria:
- Penunggang mestilah berdaftar secara sah.
- Bermastautin atau menetap di kawasan DUN Merlimau.
- Aktif menjalankan perkhidmatan penghantaran, sama ada secara sepenuh masa mahupun sambilan.
Sebelum ini, Merlimau sebenarnya sudah pun melakar sejarah tersendiri apabila mewujudkan pusat rehat khas bagi kemudahan pekerja penghantaran. Inisiatif penyediaan pusat rehat itu merupakan yang pertama seumpamanya diperkenalkan di peringkat DUN dalam negeri Melaka.
Komitmen terbaharu ini menjadi sebahagian daripada tawaran yang dibawakan Dr Akmal menjelang hari pengundian, dengan harapan nasib para rider di Merlimau akan terus mendapat pembelaan sewajarnya.
Sumber: ohmymedia.cc
Baca juga

Harga RON97 Turun 50 Sen, Minyak Tanpa Subsidi Turut Murah Bermula Esok
Khabar gembira buat pengguna jalan raya apabila harga RON97 dan bahan api tanpa subsidi mengalami penurunan harga berkuat kuasa esok sehingga 18 November ini.

Najib Jalani Tahanan Rumah Di Langgak Duta, Polis Bantu Buat Pantauan Berkala
Datuk Seri Najib Tun Razak kini sah menjalani baki hukuman di kediaman sendiri di bawah kawalan Jabatan Penjara, dibantu rondaan berkala oleh pihak polis.

Kawal Ancaman Siber Baharu, Malaysia Sedia Rangka Pelan Kriptografi Pascakuantum
Kerajaan kini giat merangka pelan keselamatan siber alaf baharu bagi melindungi sistem maklumat kritikal negara daripada sebarang ancaman teknologi masa depan.